KUALA LUMPUR – Mana-mana individu yang akan dipanggil untuk memberikan keterangan mengenai siasatan berkaitan forum Statut Rom yang berlangsung baru-baru ini tidak perlu berasa bimbang.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa individu yang didakwa mengkritik Raja-Raja Melayu ketika forum Statut Rom berlangsung di Universiti Malaya (UM) minggu lalu.
“Jika anda laporkan perkara yang benar, tidak perlu takut kepada apa-apa, kerana ia sahih.
“Tapi jika anda menipu, buat-buat cerita untuk pengaruhi emosi, bangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat, itu tidak betul,” katanya ketika selepas menghadiri Persidangan Belia Al Sharq, hari ini.
Awal minggu ini, polis telah memulakan siasatan di bawah Akta Hasutan berhubung forum berkenaan yang dianjurkan sekumpulan aktivis pelajar Sabtu lalu.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, ia berdasarkan kepada beberapa laporan polis berhubung forum berkenaan.
Fuzi berkata polis akan memanggil beberapa individu yang dikaitkan dengan forum itu termasuk penganjur untuk memberi keterangan.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, adalah menjadi tugas pihak berkuasa untuk melakukan siasatan atas dasar untuk melindungi rakyat dan bertindak serta melakukan siasatan jika wujudkan usaha untuk menimbul huru-hara.
“Polis melindungi kita. Apabila mereka (pihak tertentu) cuba mencetuskan huru hara, mereka (polis) perlu bertindak. Penyiasatan mereka akan membawa kepada pendakwaan, cuma mereka kena siasat sama ada wujud cubaan untuk mencetuskan huru hara.
“Penyiasatan tidak semestinya akan berakhir dengan pendakwaan,” katanya lagi.
Antara yang hadir forum yang diadakan di Universiti Malaya itu ialah ahli akademik yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR Syed Husin Ali, Peguam Negara Tommy Thomas, penyelaras koordinator G25 Noor Farida Ariffin, pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi dan peguam Lim Wei Jiet. -MalaysiaGazette