Home Politik Isu SPLASH: Borhan nafi dakwaan bekas MB

Isu SPLASH: Borhan nafi dakwaan bekas MB

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor hari ini menjawab dakwaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai isu pembayaran kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH).

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, dakwaan kerajaan negeri membayar 10 kali ganda lebih banyak daripada nilai yang sepatutnya kepada pemegang konsesi SPLASH adalah tidak benar.

“Tuduhan ini tidak benar sama sekali. Pengambilalihan SPLASH dibiayai oleh Pengurusan Aset Air Berhad, sebuah agensi kerajaan Persekutuan dengan jumlah RM 1.9 bilion dan Air Selangor dengan jumlah RM650 juta melalui bayaran ansuran tahunan untuk tempoh selama sembilan tahun.

“Pengambilalihan ini tidak membabitkan apa-apa peruntukan kewangan dari dana Kerajaan Negeri Selangor dan telah distrukturkan dengan pembayaran secara jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai dakwaan bekas Menteri Besar Selangor itu yang juga menuduh kerajaan negeri tidak tidak bertanggungjawab dalam mengurus kewangan negeri juga tidak berasas.

“Sepanjang pentadbiran Abdul Khalid, beliau melaksanakan 14 program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Kemudian, program-program tersebut diperbaiki dan dipertingkatkan keberkesanannya menjadi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Pada tahun terakhir beliau menjadi MB, beliau hanya membelanjakan sejumlah RM 278 juta untuk MES berbanding pada tahun 2018, di mana kerajaan negeri membelanjakan RM628 juta untuk IPR, lebih dua kali ganda lebih besar untuk manfaat rakyat Selangor.

“Ini adalah bukti kerajaan negeri menguruskan kewangan negeri dengan cekap, bertanggungjawab dan berhemah serta sentiasa memastikan kebajikan rakyat menjadi keutamaan,” katanya lagi.

Justeru, Borhan menyeru agar rakyat Selangor memberi sepenuh keyakinan dan kepada kerajaan negeri memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Langkah penstrukturan semula industri air telah berjaya memberi manfaat kepada rakyat negeri Selangor. Hasilnya ketika gangguan bekalan air baru-baru ini, Air Selangor telah berjaya menyelesaikan isu tersebut lebih awal dari jangkaan.

“Langkah efisien ini adalah hasil dari kedudukan Air Selangor sebagai operator tunggal bekalan air selepas penyelesaian penstrukturan industri bekalan air baru-baru ini,” katanya.- MalaysiaGazette