Home Nasional Jho Low mahu tuntutan barang kemas RM7.02 juta selesai segera

Jho Low mahu tuntutan barang kemas RM7.02 juta selesai segera

Jho low
Low Taek Jho

KUALA LUMPUR- Ahli Perniagaan Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low mahu isu tuntutan barang kemas bernilai AS$1.7 juta (RM7.02 juta) yang didakwa diberikan kepada ibunya, Evelyn Goh diselesaikan dengan segera.

Menurut jurucakap ahli perniagaan dalam pelarian itu, Jho Low lega apabila mendapat tahu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan pihak yang berkaitan sedang bekerja keras untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Kami tidak sabar untuk terus mencari penyelesaian terhadap isu-isu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui peguamnya.

Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan, DoJ telah memeterai perjanjian dengan penjaga barang kemas itu supaya dipulangkan semula ke Amerika Syarikat.

Barang kemas yang berupa sepasang anting-anting berlian yang sepadan dengan sebentuk cincin berlian merupakan antara barangan berharga yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Evelyn dikhabarkan tinggal di Thailand ketika ini.

“Penyerahan aset-aset defendan tidak sepatutnya dianggap sebagai pengakuan kesalahan atau menjadi liabiliti kepada penjaga semasa (barang kemas tersebut) atau mana-mana pihak.

“Apabila kerajaan memiliki, menjaga atau mengawal aset-aset defendan mengikut Peraturan Suplemen G di bawah Peraturan Suplemen bagi Tuntutan Admiralti atau Maritim dan Pelucutan Hak Aset, kerajaan akan mengambil langkah melucutkan hak aset defendan,” kata Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan.