KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Bhd akan melancarkan produk baharu pakej percutian pada suku ini bagi membolehkan tetamu menyesuaikan pakej percutian mereka di Malaysia, kata Ketua Eksekutif Kumpulan Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Lau Yin May.
Katanya, dengan pakej itu, tetamu boleh sesuaikan percutian istimewa mereka menerusi gabungan penerbangan, penginapan, lawatan, aktiviti dan tarikan, supaya mereka boleh mengunjungi dan merasai pengalaman berada di beberapa tempat terbaik di negara ini.
“Kami akan mempunyai banyak lagi rakan kongsi untuk kempen baharu ini dan mengumumkannya apabila ia siap.
“Kami merancang (majlis pelancaran) dalam beberapa bulan lagi,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran fasa kedua kempen Malaysia Hospitaliti di pejabat tiket syarikat penerbangan itu yang baharu di NU Sentral Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Lau berkata, pakej percutian itu merupakan sebahagian daripada kempen yang dilancarkan tahun lepas.
Beliau berkata, kempen itu termasuk aplikasi baharu MHassistant, yang menawarkan tetamu ciri-ciri tambahan yang melangkaui tiket penerbangan.
“Melalui MHassistant, tetamu yang melancong dengan Malaysia Airlines boleh memuat turun MHvouchers untuk digunakan bagi mendapatkan pelbagai pengalaman menarik, termasuk masakan enak dan membeli-belah,’’ katanya. – MalaysiaGazette