KUALA LUMPUR – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang lantang mengkritik kerajaan terdahulu sebelum kemenangan besar oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 melahirkan kebimbangan terhadap pentadbiran serta janji manifesto yang gagal dipatuhi kerajaan ketika ini.
Malah Pengarah Eksekutif Pusat Bagi Memerangi Rasuah dan Kroni, Cynthia Gabriel mendedahkan, antara yang menjadi persoalan serta kebimbangan umum adalah pelantikan politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC).
Kata Cynthia, jika sebelum sudah termaktub dalam manifesto tidak akan ada lantikan sedemikian malah kerajaan terdahulu turut dikritik namun akhirnya janji itu tidak dikotakan.
Sebaliknya kata Cynthia, PH memberikan alasan kononnya lantikan politik untuk jawatan Lembaga Pengarah masih dibenarkan manakala Pengerusi GLC bukan lantikan politik.
“Mana boleh begitu? Bukankah sebelum ini mereka (PH) sudah cakap bahawa tiada lantikan politik? Ianya tidak dibenarkan sama sekali jadi kenapa sekarang ada pula?
“Tetapi kini kata mereka, lantikan Lembaga Pengarah dalam kalangan lantikan politik boleh, yang tidak boleh adalah Pengerusi. Apa bezanya? Sebenarnya lantikan-lantikan ini membuatkan rakyat tidak senang dan gelisah.
“Jika kami cakap semua ini, pastinya kerajaan tidak akan suka kerana pada mereka NGO ini semuanya suka kritik kerajaan. Sungguh menggerunkan sebenarnya,” katanya ketika membentangkan prestasi kerajaan PH sejak 9 Mei 2018 bersama-sama dengan Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) hari ini.
Janji ke-22 dalam manifesto PH menetapkan lantikan ahli lembaga pengarah dalam GLC dan syarikat kerajaan negeri mesti dalam kalangan profesional.
Janji yang tertulis dalam dokumen manifesto itu menyatakan: Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan profesional dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.
Cynthia juga memberikan contoh lantikan Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting yang juga merupakan isteri kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri.
Selain itu lantikan dalam GLC di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga menyaksikan ahli parti menerajui agensi atau jabatan tertentu.
Dalam pada itu, Cynthia turut menarik perhatian tentang projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang yang rata-ratanya dipercayai mempunyai unsur rasuah.
“Bagaimanapun, projek-projek yang sepatutnya disiasat serta dihentikan khasnya oleh kerajaan persekutuan dibiarkan begitu walaupun ada bukti kukuh bagi menyokong dakwaan wujudnya elemen rasuah di situ,” katanya.
Kata beliau, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) mengandungi matlamat yang tinggi untuk menjadikan Malaysia bebas rasuah pada tahun 2023.
“Kerajaan harus menunjukkan kepimpinan melalui teladan dan tidak boleh bertoleransi terhadap semua bentuk rasuah. Banyak elemen rasuah dalam pegawai kerajaan telah di kesan pada masa kini, sangat menggangu fikiran,” ujar beliau.
Jelas Cynthia, prestasi PH dalam pelbagai aspek sebenarnya tidak memuaskan malah berada pada tahap membimbangkan, apatah lagi amalan kerajaan terdahulu masih lagi diamalkan.
Sementara itu, menurut Eksekutif IDEAS, Muhammad Faiz Mohd Zaidi mengakui kerajaan PH hanya berjaya mencapai 6 peratus daripada janji ekonomi yang sepatutnya dilaksanakan dalam usaha membantu rakyat mengurangkan bebanan daripada kerajaan terdahulu.
Katanya, ketika ini 22 peratus daripada janji berkaitan ekonomi dalam manifesto sebelum kemenangan PRU-14 sedang dilaksanakan secara perlahan-lahan.
“Kita boleh simpulkan, 6 peratus daripada janji itu sudah dilaksanakan, 22 peratus masih dalam peringkat pelaksanaan. Ini adalah janji ringankan beban rakyat, bantu ekonomi negara dan sebagainya,” ujar Muhammad Faiz.
IDEAS telah melancarkan edisi pertama Projek Pantau, suatu kad laporan yang menganalisa prestasi PH dalam melaksanakan janji – janji di dalam manifesto Buku Harapan.
Setakat ini IDEAS telah menganalisa 192 janji janji kecil yang dikenalpasti daripada 23 janji utama yang daripadanya Teras 1 (Meringankan Bebanan Kehidupan Rakyat) dan Teras 3 (Merancak Pertumbuhan Ekonomi yang Adil dan Saksama) serta tiga janji daripada Teras 2 (Mereformasi Institusi Pentadbiran dan Politik) telah dianalisa.
Kumpulan IDEAS telah bekerjasama rapat bersama Harapan Tracker yang diwujudkan sejurus selepas Pilihan Raya ke 14 dengan pelbagai badan pemikir atau NGO yang turut sama menyumbangkan usaha mereka untuk memantau agenda reformasi Kerajaan pada masa ini. – MalaysiaGazette