Home Utama “Ada benda personal dan rahsia, tidak akan kongsi” – Mohamad Fuzi Harun

“Ada benda personal dan rahsia, tidak akan kongsi” – Mohamad Fuzi Harun

Mohamad Fuzi Harun
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, PULAPOL, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 MEI 2019

KUALA LUMPUR – “Saya ada macam-macam hendak buat untuk manfaatkan diri, ada benda personal dan rahsia, saya tidak akan kongsi”.

Itu reaksi Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang akan bersara wajib daripada tugas Ketua Polis Negara (KPN) esok.

Kata beliau, tugas polis sebenarnya tidak ada yang tanpa cabaran dan sepanjang 35 tahun perkhidmatan, beliau sentiasa diuji dengan kes yang mencabar.

“Tugas polis tak ada yang tak mencabar, sentiasa mencabar, saya bersyukur sampai garisan penamat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara antara beliau dan Datuk Seri Abdul Hamid Bador di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak pagi tadi yang disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Turut berlangsung penyerahan jawatan Pengarah Cawangan Khas oleh Datuk Seri Abdul Hamid Bador kepada Datuk Ramli Hassan yang akan memangku jawatan pengarah itu.

Ditanya perkara pertama yang akan dilakukan apabila bersara, Mohamad Fuzi berkata, beliau akan lebih sibuk selepas ini.

“Selama ini sebagai polis saya kerja pagi hingga lewat malam, selepas ini akan buat kerja memanfaatkan diri saya.

“Macam-macam kerja..ada benda personal (peribadi) dan rahsia, saya tidak akan kongsi dengan anda,” katanya yang sudah pun belanja pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) makan durian.

Terdahulu dalam ucapan terakhir sebagai KPN, Mohamad Fuzi turut menyentuh pemergian isteri tersayangnya pada Disember 2017.

“Menyoroti detik-detik sukar yang telah saya lalui sebelum ini, peristiwa yang masih segar di ingatan adalah saat di mana saya diuji dengan dugaan meruntun jiwa.

“Mana tidaknya pada ketika itu saya baru bertatih dengan tanggungjawab sebagai Ketua Polis negara, saya telah kehilangan isteri yang amat saya cintai.

“Namun saya bersyukur kerana saya ditemani sahabat-sahabat dan seluruh warga PDRM yang tidak pernah putus memberikan kata semangat dan dorongan dan tanpa bantuan rakan-rakan pastinya saya sudah tempang dan terduduk dihempap perasaan berduka lara,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Hamid yang akan memulakan tugasnya rasmi esok memilih untuk tidak mengulas apabila ditanya wartawan mengenai pelantikan beliau menggantikan Mohamad Fuzi.

“Terima kasih, tetapi ini bukan sesi saya. Saya beri peluang kepada Tan Sri Mohamad Fuzi bercakap (persaraan),” katanya. – MalaysiaGazette