KUALA LUMPUR – Program Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) merupakan platform melahirkan barisan kepimpinan muda bertaraf tinggi yang ada nilai dan jati diri yang teguh serta mampu memimpin dengan telus dan berintegriti.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia merupakan hasil cetusan idea daripada JFLS atau Program Sekolah Kepimpinan Masa Depan Jepun yang lama dilaksanakan di situ.
“Pada bulan Ogos tahun lalu, seperti tahun-tahun sebelumnya sejak tahun 2003 lagi, saya dijemput untuk menyampaikan syarahan mengenai nilai-nilai murni kepada anak-anak muda Jepun di JFLS.
“Setiap kali saya hadir saya diminta untuk menyampaikan syarahan berkenaan topik-topik tertentu tetapi kesemuanya berkisar mengenai kepimpinan untuk masa depan serta nilai-nilai baik yang diperlukan sebagai seorang pemimpin.
“Maka saya merasa program seumpama itu perlu ada di Malaysia kerana ia mampu membentuk golongan pemimpin pelapis atau future-ready leaders yang akan menjadi pemimpin dalam pelbagai sektor dan bidang pada masa hadapan,” katanya selepasĀ bersama isterinya Tun Dr. Siti Hasmah menyempurnakan program tersebut di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya malam tadi.
Majlis turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalannya Steven Sim dan kira kira 500 belia pemuda mahasiswa dari seluruh negara.
Tambah beliau, program yang dilihat mampu memberi impak kepada pembangunan modal insan generasi muda masa depan negara itu kemudian telah cadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan untuk diwujudkan di Malaysia berdasarkan prinsip Japan Future Leaders School tetapi disesuai dengan landskap dan acuan negara ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa negara sedar dan menjadi saksi bagaimana kepimpinan yang tidak berintegriti mampu melakukan kerosakan yang teruk kepada negara dan mungkin terpaksa ditanggung oleh beberapa generasi kemudian.
“Saya percaya jika kita mempunyai nilai yang baik, yang sesuai dan kita amal sehingga menjadi budaya kita, kita pasti akan berjaya.
Kita akan dapati bahawa yang menentukan kejayaan seseorang ialah nilai yang diamalkan dan menjadi budayanya tanpa bergantung kepada warna kulit, bangsa, cuaca atau persekitaran seseorang.
Katanya atas sebab itu MFLS diperkenalkan dengan bertujuan untuk menyemai nilainilai yang baik kepada anak muda kita pada peringkat awal lagi.
“Lagipun pembentukan minda dan nilai di kalangan anak-anak muda hari ini amat berbeza dari generasi yang lalu yang berdasarkan sumber tradisional dan konvensional iaitu ibu-bapa, guru-guru, didikan agama serta pembelajaran sivik.
“Hari ini, sumber nilai adalah pelbagai. Selain dari sumber tradisional yang saya perkatakan, perkembangan teknologi maklumat yang begitu pesat membuka pelbagai ruang dan menembusi pemikiran seluruh lapisan masyarakat terutamanya generasi muda.
“Ia menyebabkan kalangan anak muda masa kini yang lebih suka merujuk sesuatu perkara di internet dan media sosial tanpa sebarang keperluan kajian terlebih dahulu dan kecenderungan untuk percaya isu-isu yang dikongsi di media sosial tanpa mengesahkan kesahihan isu tersebut,” tegasnya.
Beliau pada masa sama mengakui anak-anak muda juga kini lebih asyik dengan permainan atas talian rata-ratanya boleh menyuntik pengaruh dalam pelbagai rupa dan secara tidak langsung membentuk keperibadian mereka.
Pun begitu beliau menyatakan kerisauan pengaruh besar yang negatif dari kepesatan teknologi terhadap generasi muda, tetapi tidak boleh mengabaikan kesan positif yang mungkin lebih besar kepada masyarakat keseluruhan.
Untuk itu katanya keutuhan jati diri dalam jiwa anak-anak muda perlu diperkukuhkan dengan menyedarkan mereka tentang perlunya disiplin diri yang tinggi dan berpegang teguh kepada nilai-nilai murni sepanjang masa.
“Namun sudah tentunya ia bukan sesuatu yang mudah dan akan berlaku secara sendiri dan kerana itulah kita menyokong program MFLS ini yang mampu mengukuh dan menyerlahkan lagi potensi belia.
“Saya percaya dan yakin ramai daripada kalangan anak-anak muda Malaysia berpotensi untuk menjadi pemimpin yang hebat jika diberi peluang dan digilap dengan acuan yang betul.
“Jika Malaysia Future Leaders School diperkenal sebagai salah satu pendekatan untuk menerap nilai murni dan kepimpinan dikalangan anak muda kita, pendekatan negara ialah untuk menyediakan mereka untuk menyahut cabaran Revolusi Industri 4.0 dengan memastikan keupayaan mereka menangani teknologi moden dan berkeupayaan mengguna teknologi tersebut secara positif dan berkesan,” tegas beliau.- MalaysiaGazette