Home Nasional Pelantikan Tengku Maimun tempa sejarah tersendiri

Pelantikan Tengku Maimun tempa sejarah tersendiri

Aiman Athirah Sabu
Aiman Athirah

KUALA LUMPUR – Majlis Senator Malaysia (MSM) menyifatkan pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu sebagai peristiwa luar biasa yang menempah sejarah tersendiri.

Setiausaha Kehormatnya, Senator Raj Munni@Aiman Athirah Sabu berkata, pelantikan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, meletakkan wanita di negara ini ke tahap pencapaian tertinggi.

“Pelantikan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan yang baharu berkuat kuasa kelmarin bukan sahaja merupakan satu berita biasa, tetapi satu peristiwa luar biasa yang menempah sejarahnya tersendiri.

“Peristiwa manis ini tentunya tidak hanya terukir sebagai pencapaian peribadi Yang Amat Arif Datuk Tengku Maimun, tetapi hakikatnya menjadi pencapaian tertinggi wanita Malaysia dan berita paling gembira buat kita di seluruh negara.

“Beliau menjadi wanita pertama Malaysia yang telah dan pernah diberi kepercayaan menerajui posisi sepenting itu,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Raj Munni, pengalaman Tengku Maimun selama 37 tahun dalam bidang perundangan tentunya menjadi aset paling berharga dan panduan sangat berguna untuk beliau menjalankan tugas serta tanggungjawabnya sebagai Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara.

“Saya yakin dan percaya pelantikan ini akan memberi inspirasi kepada seluruh rakyat berbilang bangsa dan gender, terutama golongan wanita agar berani bersaing dalam apa jua bidang khususnya yang memerlukan kemahiran, pengetahuan serta kepakaran yang tinggi.

“Tentunya, pengalaman luas beliau dalam bidang kehakiman dan perundangan diharap dapat mengukuhkan usaha kerajaan Malaysia Baharu untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dalam negara.

“Sekali gus memulihkan imej negara di mata dunia yang telah tercemar teruk oleh rejim kleptokrat sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Awan Nasional, Dr. Siti Mariah Mahmud mengucapkan tahniah dan berbangga dengan pelantikan Tengku Maimun, sekali gus menjadi wanita pertama menduduki jawatan penting itu.

Kata beliau, pencapaian bersejarah itu cukup besar maknanya kepada golongan wanita untuk lebih bersemangat menceburi serta menjuarai bidang yang lebih mencabar yang sering didominasi oleh golongan lelaki.

“Kita percaya kejayaan besar ini berpunca daripada peluang pendidikan yang telah diperoleh selama ini serta keberanian untuk membawa perubahan.

“Kita juga berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan membantu meluaskan lagi peluang pendidikan begini kepada semua anak bangsa dalam negara ini supaya mereka juga boleh mencipta kejayaan yang membanggakan,” katanya. – MalaysiaGazette