Home Utama RTS: Jika benar tanah itu kini milik Sultan Johor, kita akan dapatkan...

RTS: Jika benar tanah itu kini milik Sultan Johor, kita akan dapatkan semula – Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) bercakap semasa sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Sekiranya dakwaan dua plot tanah di Bukit Chagar adalah milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, maka kerajaan akan membayar pampasan kepada baginda.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, langkah itu bagi membolehkan kerajaan meneruskan projek Sistem Transit Aliran (RTS) dari Johor Bahru ke Singapura tidak terganggu.

“Jika dia (Sultan Johor) telah membayarnya, kita perlu membeli semula. Jika belum bayar, kita tidak perlu beli semula. Itu tanah kerajaan.

“Kita memerlukan tanah itu bagi tujuan membina kemudahan yang diperlukan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden di Yayasan Al-Bukhary hari ini.

Projek RTS terganggu apabila tanah berkenaan didakwa telah ditukar milik ke atas nama Sultan Johor.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata Putrajaya tidak mempunyai laporan penuh mengenai dakwaan itu dan hanya mengetahui melalui laporan media.

“Kita akan tuntut balik tanah itu. Kalau ada pengambilan mana-mana pihak mereka mestilah lalui proses sedia ada apabila tanah nak dimiliki oleh sesiapa,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan beberapa individu yang mengetahui perkara itu memberitahu bahawa Pejabat Tanah dan Galian Johor mendapat tahu pertukaran hak milik tanah ini pada 28 Januari lalu.

Tanah tersebut merupakan salah satu daripada lima bidang tanah di Bukit Chagar yang diberikan kepada kerajaan negeri Johor pada 2012 sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tanah untuk membina kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) Johor Bahru.

RTS merupakan projek yang menghubungkan aliran rel Johor Bahru dengan Singapura bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di sempadan negara. -MalaysiaGazette