Home Nasional SKMM serbu rumah pemilik akaun FB ‘Abu Leman’

SKMM serbu rumah pemilik akaun FB ‘Abu Leman’

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini menyerbu rumah seorang pemilik akaun Facebook (FB) dan blog ‘Abu Leman’ di Bemban, Melaka, kerana dipercayai menyebarkan kandungan palsu terhadap kerabat diraja dan pemimpin negara.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datuk Mohd Shafie Harun berkata, serbuan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung perkara itu.

“Siasatan awal mendapati suspek yang menggunakan akaun Facebook dan blog atas nama ‘Abu Leman’ merupakan pentadbir kepada kedua-dua akaun tersebut.

“Dalam serbuan itu, beberapa peralatan komunikasi seperti komputer riba, modem, telefon bimbit, kad SIM dan kad memori turut dirampas bagi membantu siasatan. Rakaman percakapan daripada suspek juga turut diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Shafie berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

” SKMM tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita palsu sebegini dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang terlibat,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut menggesa pengguna media sosial untuk mempertingkat kawalan kendiri ketika mengakses internet.

” Pengguna juga diingatkan tidak menggunakan internet sebagai platform menyebarkan kandungan palsu, jelik dan menghina yang boleh mengundang kemarahan dan menjejaskan ketenteraan awam,” katanya.

— BERNAMA