Home Nasional Sudah 37 tahun namun Dasar Pandang Ke Timur masih relevan – Dr...

Sudah 37 tahun namun Dasar Pandang Ke Timur masih relevan – Dr Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Pelancaran Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Dasar Pandang ke Timur yang berusia 37 tahun sejak diperkenalkan pada tahun 1982 masih relevan dan boleh dijadikan sebagai prinsip dan tauladan dalam membentuk generasi muda masa depan yang cemerlang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana Menteri berkata, dasar itu yang mencorak Jepun dan kini Korea Selatan merupakan dua buah negara yang begitu pesat membangun, bahkan dalam beberapa bidang mereka jauh lebih maju dari negara Barat.

Menurutnya kejayaan kedua-dua negara berkenaan berprinsipkan Pandang Ke Timur boleh dijadikan contoh dan teladan kepada Malaysia dan seterusnya dibudayakan bagi mencapai matlamat pembangunan negara.

Kata pemimpin tertinggi kerajaan itu lagi, resipi kejayaan kedua-dua buah negara ini adalah bersandarkan kepada disiplin, kesetiaan kepada negara, keutamaan kepada kehidupan bermasyarakat, penekanan kepada kualiti dan sentiasa mempraktikkan nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian.

“Asas sosial dan kebudayaan menjadi teras pembentukan budaya kerja mereka selain semangat patriotik yang menebal dalam diri misalnya pekerja di Jepun sangat teliti dalam melaksanakan tugas demi menghasilkan produk atau perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan budaya “teliti” yang telah sebati dalam kehidupan harian mereka dan bukan hanya dalam urusan kerja sahaja.

“Rakyat Jepun juga mempunyai sifat malu yang amat tinggi dan mereka malu jika malas bekerja dan mereka sentiasa berusaha memastikan kesempurnaan dan kejayaan dalam tugas dan itulah hasil didikan nilai-nilai murni dan pembentukan sahsiah diri yang telah diterap sejak kecil lagi.

“Kita akan cuba terapkan nilai-nilai ini melalui Malaysia Future Leaders School (MFLS) bagi membentuk pemimpin masa hadapan yang mempunyai nilai keperibadian yang tinggi dari aspek integriti, inklusif, kecemerlangan, kesukarelawanan, tanggungjawab, daya saing dan kemasyarakatan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dan menyempurnakan MFLS di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya malam tadi.

MGF03052019_Majlis Pelancaran Malaysia Future Leaders School (MFLS)_16
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama sebahagian pelajar pada Majlis Pelancaran Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 MEI 2019

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Menterinya Steven Sim di majlis yang menyaksikan kehadiran lebih 500 pemuda dalam kalangan mahasiswa di seluruh negara.

Pengerusi Pakatan Harapan berusia 94 tahun itu juga menyatakan harapan bahawa Malaysia Future Leaders School ini tidak hanya memberi manfaat kepada para pesertanya sahaja tetapi turut dirasai oleh semua rakyat Malaysia.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, apa yang dicorakkan kepada anak muda Malaysia pada hari ini bakal menjamin masa depan negara.

“Kita tidak boleh halang perubahan, tetapi apa yang boleh kita buat adalah melengkapkan diri untuk menghadapi perubahan tersebut dengan lebih positif.

“Kita perlu ada keyakinan yang tinggi dalam diri bahawa kita boleh berjaya dan menjadi lebih baik daripada yang lain, asalkan kita bekerja keras, tidak berputus asa dan sanggup mengulangi usaha tersebut berkali-kali sehingga kita capai apa yang dihasratkan.

“Saya yakin kita mampu melahirkan generasi pemimpin yang bertaraf antarabangsa namun dengan masih  mengekalkan adab Timur dan jati diri masing-masing ke arah itu, juga percaya nilai-nilai kepimpinan yang terbaik bakal melahirkan individu cemerlang dalam pelbagai bidang menerusi platform MFLS,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette