KUALA LUMPUR – Ada pihak cuba membuktikan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berpunca daripada kemalangan, dilanggar kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mengundur pada malam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman.
Apa pun juga situasinya, peguam mewakili keluarga Adib iaitu Mohd Zubir Embong menegaskan keadilan dan fakta sebenar perlu ditegakkan.
“Hari ini dalam mahkamah ada dua versi Adib, seorang bomba mati kerana eksiden dilanggar kenderaan. Ini yang cuba ditunjukkan,” katanya.
Peguam itu berkata demikian ketika hadir pada Himpunan Pertahanan Kedaulatan Islam (405) hari ini.
Bbagaimanapun, Zubir tidak mahu mengulas lanjut isu kematian Adib kerana enggan mendahului mahkamah.
Untuk rekod, Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi sebelum ini berkata, kecederaan Adib pada 27 November 2018 bukan diakibatkan perbuatan manusia.
Namun pandangan itu berbeza dengan bekas Pakar Forensik Hospital Universiti Kebanvsaan Malaysia (HUKM) Profesor Dr. Shahrom Abd Wahid.
Dr. Shahrom mengatakan anggota bomba yang meninggal dunia 17 Disember tahun lalu itu akibat parah dihentak daun pintu.
Daun pintu itu dihentak oleh perusuh.
Inkues masih berjalan apabila Mahkamah Tinggi baru-baru ini membenarkan Hafizam dipanggil untuk memberi keterangan sekali lagi.- MalaysiaGazette