Home Nasional Kumpulan penyamun kedai 24 jam tumpas

Kumpulan penyamun kedai 24 jam tumpas

Pegawai PDRM menyusun barang-barang rampasan pada sidang media mengenai tangkapan Op Samun Premis 24 Jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 06 MEI 2019

SHAH ALAM – Sekumpulan penyamun muda, kedai 24 jam di Lembah Klang diberkas selepas dikesan aktif sejak lima bulan yang lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat, enam orang penyamun yang diberkas 4 Mei lalu berumur antara 21 hingga 26 tahun dan modus operandi adalah menjalankan aktiviti pada awal pagi dengan menggunakan parang untuk menakutkan mangsa.

Mereka semua yang mempunyai rekod kesalahan jenayah dan positif dadah, turut direman selama tujuh hari sejurus ditangkap.

“Kejadian didalangi sekumpulan lelaki berbangsa Melayu menaiki motosikal dengan bersenjata parang dan memilih premis perniagaan 24 jam seperti KK Mart, 7 Eleven, kedai runcit dan stesen minyak sebagai sasaran,” katanya pada sidang media hari ini.

Turut dirampas motorsikal jenis KTM Duke yang juga hasil curi,  selain senjata, wang tunai, beberapa telefon bimbit yang digunakan suspek.

“Bergerak secara berkumpulan pada waktu awal pagi, kumpulan ini telah mengaplikasikan modus operandi dengan mengacukan parang kepada penjaga premis sebelum mengambil wang tunai, barang berharga, rokok dan makanan,” ujarnya.

Tambah Fadzil, kumpulan yang mendalangi 27 kes sekitar lima lokasi di Selangor dan Kuala Lumpur ini telah menyebabkan premis-premis yang dijadikan mangsa  rugi RM68,000.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor itu mengingatkan penjaga premis yang beroperasi 24 jam agar sentiasa berhati-hati.

Selain mencadangkan penjaga kedai tidak berseorangan beliau turut menasihatkan pemilik premis menempatkan pegawai keselamatan.

Dalam masa yang sama polis mengesan tiga lagi kumpulan penyamun yang sedang aktif dan akan bertindak pada bila-bila masa untuk menangkap mereka. – MalaysiaGazette