Home Dunia Laungan “lanjutkan usia raja” bergema apabila Raja Vajiralongkorn muncul

Laungan “lanjutkan usia raja” bergema apabila Raja Vajiralongkorn muncul

BANGKOK – Laungan “sohng phra ja reern” (Lanjutkan usia Tuanku) bergema apabila Raja Maha Vajiralongkorn yang baru ditabalkan muncul di khalayak ramai dari balconi di Dewan Suddhaisavarya Prasad di Istana Besar hari ini.

Beribu-ribu rakyat Thailand yang berpakaian serba kuning melutut mengikut adat tradisional untuk memberi penghormatan kepada Raja Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida pada hari ketiga dan terakhir istiadat pertabalan diraja.

Walaupun cuaca panas terik, orang ramai yang membawa potret Raja Vajiralongkorn, bendera kebangsaan dan bendera diraja menunggu selama berjam-jam di luar Dewan Suddhaisavarya Prasad Hall.

Upacara hari ini bermula dengan lagu kebangsaan dimankan dan tembakan metriam 21 das dan laungan “lanjutkan usia Raja” yang dipimpin oleh Menteri Perdana Prayuth Chan-o-cha.

Kemudian, Puteri Bajara Kitiyabha, Puteri Sirivannavari dan Putera Dipangkorn turut serta bersama Raja dan Permaisuri di balkoni untuk menerima ucapan daripada rakyat.

Bagi pihak seluruh rakyat Thailand, Prayuth dalam ucapannya berkata semua rakyat berikrar untuk menyokong dan tat setia kepada Raja dan monarki untuk memelihara dan membangunkan negara.

“Semoga kita melahirkan perasaan sukacita dan kebahagiaan kepada baginda. Kami menghargai kebaikan dan penghargaan baginda kepada rakyat Thailand, “katanya.

Kemudian, Raja Vajiralongkorn bertitah bahawa baginda dan permaisuri amat gembira menerima ucapan daripada rakyat.

“Beta berharap semua pihak akan melaksanakan tugas dan terus membangunkan negara kita,” titah baginda.

Kemudian, Raja Vajiralongkorn dan Ratu Suthida menerima menghadap diplomat asing yang menzahirkan ucapan tahniah sempena upacara khas ini yang berlangsung di Balairung Seri Chakri Maha Prasad.

Bagi pihak semua diplomat dan konsulat, Duta Singapura ke Thailand Chua Siew San merakamkan ucapan tahniah kepada Raja Vajiralongkorn sempena istiadat pertabalan baginda.

“Tuanku, izinkan patIk untuk mengulangi komitmen kami yang berterusan untuk terus membangun dan mengukuhkan hubungan antara kerajaan Thailand dan negara-negara kami.

Raja Vajiralongkorn, 66, yang memakai gelaran Raja Rama X, menjadi Raja Berperlembagaan selepas kemangkatan ayahanda baginda, Raja Bhumibol Adulyadej pada Oktober 2016 selepas memerintah selama 70 tahun. Ini merupakan Istiadat Pertabalan Diraja ke-12 yang diadakan selepas berkabung selama setahun.

Pada Sabtu, Raja Vajiralongkorn secara rasmi ditabalkan sebnagai Raja ke-10 Dinasti Chakri dalam acara mengikut ritual agama Hindu dan Buddha.- BERNAMA