Home Nasional Perbicaraan Najib masuk hari ke-13

Perbicaraan Najib masuk hari ke-13

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan sebahagian pelajar universiti ketika hadir pada perbicaraan kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang didakwa diselewengkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masuk hari ke-13 dengan keterangan saksi ke-29, Amirul Imran Ahmat bersambung hari ini.

Najib yang kelihatan tenang dan segak bersut biru muda tiba jam 8.50 pagi bersama-sama dengan peguam belanya,Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sambil berbual-bual mesra.

Seperti biasa, Najib sempat menyapa beberapa pegamal media dan jurugambar sebelum masuk ke bilik perbicaraan dan duduk di kandang tertuduh dan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali tiba 9.10 pagi.

Terdahulu ketika tiba, Najib juga di sapa oleh sekumpulan pelajar universiti yang begitu teruja melihatnya sambil berteriak ‘bossku’ sebelum sempat berswafoto dengan beliau di perkarangan lobi kompleks mahkamah sebentar tadi.

MGF06052019_NAJIB MAHKAMAH02
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berswafoto dengan sebahagian pelajar universiti ketika hadir pada perbicaraan kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 MEI 2019.

Khamis lepas, saksi Amirul yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) mendedahkan SRC International pernah memohon untuk mendapatkan pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP.

Amirul memberi keterangan pada Jun 2011 bahawa beliau menerima surat daripada SRC melalui orang atasannya di KWAP.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa surat itu ditandatangani oleh Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil selain ditujukan kepada Najib atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa itu.

Saksi itu berkata, KWAP juga ada menerima surat daripada Kementerian Kewangan bertarikh 22 Ogos 2011 yang merupakan persetujuan Kerajaan Malaysia untuk memberi jaminan kepada SRC bagi pinjaman sebanyak RM2 bilion untuk tempoh 10 tahun untuk membiayai aktiviti pelaburan dalam sumber asli selaras dengan Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965.

Sebelum keterangan Amirul, saksi terdahulu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Unit Perancang Ekonomi (EPU) enggan meluluskan cadangan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi geran RM3 bilion kerana ia boleh menjurus kepada kecuaian berikutan syarikat SRC International belum ditubuhkan.

Bekas Ketua Pengarah EPU Datuk Dr Kamariah Noruddin berkata, cadangan 1MDB untuk memohon geran RM3 bilion bagi menubuhkan SRC International tidak diluluskan kerana merupakan tujuh peratus daripada peruntukan RM42 bilion untuk pembangunan negara setiap tahun.

Kamariah menyifatkan cadangan itu sebagai ‘luar biasa’ kerana permohonan itu dilakukan menerusi sepucuk surat tiga halaman.

Amirul menyambung memberi keterangan berhubung pinjaman tersebut pada hari ini.

Najib, 66, juga Ahli Parlimen Pekan didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd ketika masih menjawat jawatan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette