Home Dunia Pesawat Aeroflot meletup ketika mendarat kecemasan

Pesawat Aeroflot meletup ketika mendarat kecemasan

Pesawat Sukhoi Superjet-100 milik Aeroflot yang meletup selepas melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Sheremetyevo, Moscow. foto Agensi

MOSCOW – Sekurang-kurangnya 41 orang terbunuh selepas sebuah pesawat Rusia yang melakukan pendaratan kecemasan meletup.

Kejadian itu berlaku di Lapangan Terbang Sheremetyevo, dekat sini.

Video di laman media sosial menunjukkan para penumpang menggunakan pintu keluar daripada pesawat Aeroflot.

Dua kanak-kanak dan kru kapal antara yang maut, menurut media Rusia.

Seorang saksi berkata, ia adalah satu keajaiban bagi mana-mana penumpang yang berjaya keluar dari pesawat yang membawa 78 orang penumpang dan lima anak kapal.

Veronika Skvortsova, Ketua Kementerian Kesihatan berkata, enam penumpang telah dikejarkan ke hospital, yang mana tiga orang dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Syarikat penerbangan Rusia, Aeroflot berkata, pesawat itu terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang itu disebabkan masalah teknikal

Pesawat Sukhoi Superjet-100 itu berlepas dari Lapangan Terbang Sheremetyevo pada pukul 18:02 waktu tempatan untuk ke bandar Murmansk.

Bagaimanapun, anak kapal telah mengeluarkan isyarat ‘kegagalan fungsi’ sebaik sahaja berlepas.

Sejurus melakukan pendaratan kecemasan di lapangan terbang, enjin pesawat terbakar di landasan, kata Aeroflot, walaupun anak kapal telah melakukan segela keperluan untuk menyelamat para penumpang.

Penumpang-penumpang telah keluarkan dalam pesawat tersebut dalam tempoh 55 saat.

Daripada 78 orang yang berada dalam Superjet-100 itu, hanya 37 yang berjaya keluar, kata Jawatankuasa Siasatan Rusia.

Interfax memetik sumber sebagai berkata, enjin pesawat terbakar di landasan dan bukan di udara selepas pendaratan yang sukar.

Malah, ada laporan mendakwa pesawat berkenaan gagal dalam percubaan kali pertama untuk mendarat. – MalaysiaGazette