Home Nasional Tiada tekanan buat saya – Tengku Maimun

Tiada tekanan buat saya – Tengku Maimun

Maimun
Ketua Hakim Negara yang Baharu, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat selepas selesai menghadiri sidang media khas di Bilik Mesyuarat Ketua Hakim Negara, Istana Kehakiman, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 06 MEI 2019

PUTRAJAYA – Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menyifatkan pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu adalah ketentuan Allah SWT.

Sambil melahirkan rasa syukur, Tengku Maimun mengakui beliau tidak merasa sebarang tekanan memegang jawatan tertinggi itu walaupun mencatat sejarah sebagai Ketua Hakim wanita pertama negara.

Jelas wanita berusia 60 tahun itu, perbezaan gender bukan penghalang untuk melaksanakan tanggungjawab besar yang diamanahkan itu.

Malah beliau juga melihat pelantikannya dalam sejarah sebagai hakim kedua termuda bukan sebagai satu isu besar.

“Gender bukan alasan dan saya tiada tekanan di atas jawatan ini sebagai wanita. Tetapi tekanan memikul tanggungjawab besar dan lelaki atau pun wanita adalah sama untuk menjalankannya sebaik mungkin.

“Dan menjadi hakim negara kedua termuda juga bukan satu isu. Semuanya berbalik kepada rezeki dan bukannya umur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas pelantikannya di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Tengku Maimun Tuan Mat yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa 2 Mei lalu.

Pelantikan itu sekali gus mencatat sejarah sebagai Ketua Hakim wanita pertama negara.

Pelantikan itu turut menamatkan keta-teki siapa bakal mengisi jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara.

Pelantikan Tengku Maimun bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang telah tamat tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 April lalu, setelah mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.

Mengulas lanjut, Tengku Maimun memberitahu tiada perancangan atau perubahan yang akan dilakukan dalam masa terdekat ini.

Jelas beliau, ini kerana adalah sukar untuk melaksanakannya terlalu awal dan hanya akan meneruskan transformasi yang dilakukan Richard sebelum ini.

“Sebenarnya cabaran utama saya adalah untuk mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap institusi kehakiman dan menguruskan persepsi orang ramai.

“Apa yang berlaku ketika ini hanya persepsi dan bukannya fakta. Media sosial salah satu faktor apabila yang tulis itu tidak ada pengetahuan sebenar namun menjadi viral.

“Saya juga berharap pihak media dapat memainkan peranan penting dengan melaporkan kes dengan tepat dan antaranya cadangan selepas ini dengan menyediakan rumusan kehakiman,” katanya.

Ditanya kes yang paling mencabar sepanjang 37 tahun beliau berada dalam bidang kehakiman, Tengku Maimun berkata, tiada satu kes pun yang memberi kesan kepada dirinya.

Mengenai kerjaya sehingga menjadi Ketua Hakim Negara, beliau yang sudah bergelar nenek berkata, memilih bidang undang-undang adalah kebetulan buat dirinya.

Jawabnya secara jujur, kursus yang dipohon selepas Tingkatan Enam untuk ke universiti tidak difahami secara mendalam ketika itu.

“Tiada yang menarik tentang diri saya di zaman persekolahan kerana bukan pelajar yang bijak sangat dan terlalu nakal,” katanya tersenyum. – MalaysiaGazette