Home Utama Caj RM5,000 pasang cermin gelap untuk keselamatan – Anthony Loke

Caj RM5,000 pasang cermin gelap untuk keselamatan – Anthony Loke

Alat pengesan kadar ketelusan cahaya tampak yang digunakan oleh Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pemeriksaan kenderaan bercermin gelap selepas sidang media mengenai pindaan ke atas peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan motor di Kementerian Pengangkutan, Presint 4, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 07 MEI 2019.

PUTRAJAYA – Mulai esok pemilik kenderaan persendirian diberi kelonggaran untuk memasang cermin gelap sepenuhnya pada kenderaan mereka dengan bayaran sebanyak RM50 untuk fi permohonan dan RM5,000 untuk proses kelulusan dua tahun.

Bayaran tersebut adalah bagi permohonan menggunakan cermin gelap atas faktor keselamatan manakala jika permohonan disebabkan oleh masalah kesihatan, tiada sebarang fi dikenakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kenderaan kerajaan seperti milik Ketua Pengarah JPJ dan menteri-menteri Kabinet serta polis juga dibenarkan memasang cermin gelap sepenuhnya atas faktor risiko keselamatan

“Mereka yang diluluskan akan dikenakan caj RM5,000 untuk tempoh dua tahun dan perlu memohon semula dengan kadar caj sama selepas tamat sah laku itu.

“Manakala pengecualian fi diberikan kepada permohonan atas faktor kesihatan yang disertakan dengan pengesahan bertulis pakar perubatan kerajaan sekiranya ada alahan atau penyakit kulit perlu elak cahaya matahari dan sebagainya dan akan diluluskan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas mengenai cermin gelap bersama Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, peraturan baharu itu memberi tempoh sehingga 5 Ogos untuk pemilik kenderaan mengubahsuai filem penapisan tampak cahaya dan cermin gelap kereta masing masing.

Menurutnya, beliau juga menerima rungutan pemilik kereta mewah import Jepun yang siap bercermin gelap yang tidak mengikuti spesifikasi JPJ supaya mengkaji semula peraturan berkaitan.

“Wujud pula kedai aksesori yang membantu mereka menukar cermin standard untuk sementara demi kelulusan Puspakom dengan caj RM800 dan atas faktor ini juga kita mengubahsuai mengikut peraturan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu fasa 43 yang ditetapkan,” katanya.

MGF0705019_ANTHONY LOKE CERMIN GELAP50
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook melihat pemeriksaan kenderaan bercermin gelap oleh seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas sidang media mengenai pindaan ke atas peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan motor di Kementerian Pengangkutan, Presint 4, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 07 MEI 2019.

Ahli Parlimen Seremban itu juga mengakui sebelum ini tiada ada sebarang caj dikenakan untuk kelulusan pemasangan cermin gelap di mana bagi tempoh 2011 hingga 2018 sebanyak 5,469 kelulusan pemasangan filem cermin lebih gelap telah dikeluarkan melalui orang tengah yang diberi komisen.

“Kita ada sebab nak kenakan caj sekarang kerana kebanyakan permohonan atas faktor keselamatan yang saya terima sepanjang tahun ini adalah terdiri daripada orang kenamaan yang berkemampuan untuk bayar.

“Demi ketelusan dan mengelak campur tangan saya sendiri, jawatankuasa khas dipengerusikan Ketua Pengarah JPJ akan bermesyuarat sebulan sekali untuk memproses dan meluluskan setiap permohonan itu.

“Permohonan berkenaan terlebih dahulu akan melalui proses penapisan Polis Diraja Malaysia dan sebarang permohonan yang mempunyai rekod jenayah akan ditolak tanpa komporomi manakala pemohon yang mempunyai saman tertunggak perlu menjelaskannya untuk membolehkan dia dipertimbangkan,” katanya.

Selepas jawatankuasa khasJPJ meluluskan permohonan, ia akan diangkat untuk tandatangan dan kelulusan beliau selaku menteri sebelum satu hologram akan dikeluarkan untuk ditampal dalam cermin kenderaan.

Menurutnya, penguatkuasa JPJ akan menggunakan peralatan baharu untuk mengimbas tahap ketelusan cahaya tampak cermin gelap yang ditetapkan kelak dan akan dikenakan saman kompaun RM300 jika bersalah menerusi operasi.

“Setiap proses kelulusan permohonan oleh jawatankuasa khas itu akan mengambil masa lebih sebulan memandangkan semua permohonan akan dihantar kepada PDRM untuk ditapis.

Manakala kesemua 20,000 kelulusan pemasangan cermin gelap dibawah kerajaan terdahulu sudah luput sekarang mengikut peraturan baharu dan mereka perlu memohon semula dengan kadar bayaran yang dikenakan ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette