Home Nasional Halimah kesal Syabas gagal sedia lori tangki air mencukupi

Halimah kesal Syabas gagal sedia lori tangki air mencukupi

Dr Halimah Ali
Dr Halimah Ali

KLANG – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Halimah Ali melahirkan rasa kesal apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) masih gagal menyediakan lori tangki air mencukupi di kawasan terjejas akibat paip utama pecah di sini, sejak Ahad lalu.

Halimah selaku bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang berkata, dalam krisis air, pihak kerajaan perlu memastikan penduduk terjejas diberi keutamaan mendapat bekalan air bersih.

“Sepatutnya Syabas membekalkan lebih banyak lori tangki air, malangnya lori tangki air tidak mencukupi,” katanya ketika bersiaran langsung di akaun Facebooknya di hadapan Pusat Komuniti Pas Selat Klang, di Teluk Gadong, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad memberi jaminan gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar Klang dijangka pulih sepenuhnya sekitar pukul 8 malam ini.

Katanya, pada masa ini pihaknya sedang bertungkus lumus melakukan kerja-kerja pembaikan tiga paip utama yang pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Koridor Barat (WCE) Banting-Taiping.

Sementara itu, bagi membantu mengatasi krisis air di sekitar Klang, pihaknya telah menyediakan bekalan air bersih dan diberikan secara percuma kepada penduduk sekitar kawasan terjejas.

“Oleh kerana itu, sukarelawan Pas Kawasan Kapar mencari air untuk diberikan secara percuma kepada penduduk yang terjejas.

“Ini satu usaha khidmat masyarakat Pusat Komuniti Pas Selat Klang dengan kerjasama Pas Kawasan Kapar dan Jabatan Unit Amal Selangor,” katanya.

Beliau yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata, bantuan itu sedikit banyak dapat membantu keluarga yang terjejas dengan krisis air khususnya penduduk di perumahan pangsapuri berdekatan.

“Ramai mengadu anak-anak mereka tak boleh pergi ke sekolah, bekalan air di masjid dan surau juga kita lihat agak teruk.

“Mereka yang tinggal di tempat tinggi seperti pangsapuri Sri Perantau juga mereka mengalami masalah besar (angkut air).

“(Sebab itu) kita menyediakan bekalan bekalan air percuma untuk penduduk-penduduk DUN Selat Klang yang mengalami krisis air kerana dikatakan paip utama pecah di kawasan Meru dan kami dimaklumkan tempoh baik pulih terlalu lama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Gangguan bekalan air di Klang pulih malam ini