Home Nasional Larangan henti sementara operasi perniagaan di Kelantan tidak wajar – Nik Abduh

Larangan henti sementara operasi perniagaan di Kelantan tidak wajar – Nik Abduh

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Arahan Kerajaan Negeri agar pengusaha kedai makan dan restoran di seluruh Kelantan menghentikan sementara perniagaan, bermula jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan tahun ini adalah tindakan tidak wajar.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, ia sesuatu yang tidak betul untuk melarang peniaga mencari rezeki di bulan Ramadan.

Malah, setiap umat Islam harus bijak menguruskan masa masing-masing untuk melakukan ibadah.

“Saya ditunjukkan surat arahan ini selepas solat Tarawih tadi. Selepas sahkan kebenarannya, saya dengan ini berharap dan berdoa agar arahan ini ditarik balik.

“Ia mengganggu kebenaran dan keberkatan bulan Ramadan yang penuh berkat. Rezeki yang halal dan baik di bulan Ramadhan wajar digalakkan, bukan dihalang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bachok itu merujuk kepada satu surat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan melalui satu notis pada 6 Mei 2019 dan arahan itu berkuat kuasa serta-merta.

Notis yang ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Adnan Hussin itu juga mengarahkan agar semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan arahan kepada pengusaha kedai makan dan restoran di kawasan masing-masing.

“Dimaklumkan semua pengusaha kedai makan dan restoran diarah menutup atau menghentikan sementara operasi dari jam 8.30 malam hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan,” tulis arahan berkenaan. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yang signed surat tu x faham susah payah orang berniaga mencari rezeki gamaknya. Jgn la nak memandai2 ajar orang lain mcm mana nak menguruskan peluang di bulan Ramadhan.

Comments are closed.