Home Seni Hidup Mrs World: Malaysia tempat ke-3

Mrs World: Malaysia tempat ke-3

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya sejak 35 tahun, seorang rakyat Malaysia berjaya muncul sebagai seorang daripada tiga pemenang utama dalam Pertandingan Ratu Cantik Mrs World.

Kokilam Kathirvailu, 34, meraih tempat ketiga pada pertandingan Mrs World 2019 yang diadakan di West Gate Resort di Las Vegas, Amerika Syarikat pada Sabtu.

Pengarah Nasional Mrs Malaysia World Harveen Kaur yang juga juara Mrs Malaysia World 2017 dalam satu kenyataan berkata, pertandingan ratu cantik Mrs World 2019 itu menampilkan peserta dari 38 negara.

Mahkota Mrs World 2019 menjadi milik Jennifer Le dari Vietnam manakala Matapa Maila Rikhotso dari Afrika Selatan muncul naib juara.

Kokilam yang berasal dari Kuala Lumpur dan seorang ibu kepada tiga anak itu dimahkotakan sebagai Mrs Malaysia World 2018-2019 dalam pertandingan yang diadakan September lepas di ibu negara.

Harveen Kaur berkata Kokilam akan pulang ke tanah air malam ini dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8.55 malam.

Mrs World adalah pertandingan ratu cantik pertama dan tertua di dunia yang diasaskan oleh David Marmel yang juga presidennya. Ia diwujudkan pada 1984 dan kini mempunyai pengarah nasional di 80 negara. – MalaysiaGazette