KUALA LUMPUR – Bekas Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) mengakui projek-projek SRC International Sdn. Bhd. kelihatan hebat atas kertas.
Amirul Imran Ahmat ketika pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh berkata, Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dilihat terlalu bergantung dengan dokumen bagi menggambarkan projek-projek SRC International akan memberi impak positif.
“Merujuk kepada saksi terdahulu, Nik Faisal dan Terrence Geh (bekas Pengarah Kewangan Eksekutif 1MDB) memberikan dokumen tetapi ia hanya pembentangan dan bukannya hasil sebenar.
“Ya, dokumen-dokumen itu hanya kelihatan hebat pada permukaan sahaja dan mereka seolah-olah bergantung pada apa yang ada di atas kertas,” katanya pada kes perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memasuki hari ke-14 di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Amirul Imran yang merupakan saksi ke-29 turut menjawab pertemuannya Nik Faisal dan Geh berhubung perbincangan mengenai pinjaman RM2 bilion oleh KWAP kepada SRC International pada awal tahun 2012.
Jelas beliau, tidak terdapat pengarah SRC International lain yang hadir dalam pertemuan dengan KWAP untuk membincangkan permohonan pinjaman syarikat itu pada tahun 2011.
Amirul Imran memberitahu beliau hanya bertemu dengan Nik Faisal dan Terrence serta peguam Jasmine Loo ketika mesyuarat.
Sementara itu, perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd. Nazlan Mohd Ghazali. – MalaysiaGazette