PUTRAJAYA – Penilaian separuh lulus oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada barisan kabinet Pakatan Harapan (PH) disambut baik oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Menurutnya, ia satu penilaian yang adil kepada semua ahli kabinet yang rata-ratanya baharu memegang jawatan dalam pentadbiran negara.
“Bila ianya berkaitan dengan pentadbiran negara dan pencapaian sedemikian bagi setahun saya kira merupakan penilaian yang agak adil daripada seorang yang mempunyai pengalaman dalam pemerintahan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Keluarga Besar Kementerian Pendidikan Malaysia di Dewan Zaaba hari ini.
Dalam pada itu, Maszlee berkata, markah itu seharusnya menjadi panduan kebanyakan ahli kabinet memandangkan kepada pengalaman panjang Mahathir sebagai Perdana Menteri sebelum ini.
“Sebagai Perdana Menteri yang mempunyai pengalaman yang panjang di dalam pentadbiran, saya kira Tun Dr. Mahathir lebih tahu tentang apa yang beliau berikan markah kepada mana-mana pihak,” ujarnya.
Mahathir semalam dalam temubual khas bersama media sempena setahun pentadbiran PH memberikan markah 5 daripada 10 atau 50 peratus sahaja kepada prestasi barisan Kabinetnya.
“Saya beri lima per 10 atau 50 peratus sahaja.
“Saya seorang yang konservatif kerana saya telah lama berada di dalam kerajaan dan tahu bagaimana mereka bekerja,” kata Perdanna Menteri semalam.
Pada Oktober tahun lalu, Mahathir berkata, prestasi menteri kabinet semakin meningkat walaupun kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman sebelum ini.
Ketika itu, Mahathir berkata barisan kabinetnya layak diberi markah antara 40 hingga 50 peratus berdasarkan prestasi yang ditunjukkan sejak kerajaan PH memerintah. -MalaysiaGazette
VIDEO BERKAITAN:
TERKINI : Saya Beri 50% Markah Prestasi Ahli Kabinet PH – Tun Mahathir