KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) bahawa banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan pada masa depan.
Ujarnya, mengecapi kemenangan pada 9 Mei lalu tidak semudah yang digambarkan namun ia bertitik tolak dari kesedaran dan pengorbanan rakyat yang benar-benar mendambakan perubahan dan reformasi yang bermakna sejak 20 tahun lampau.
“Banyak air mata dan keringat yang dilaburkan untuk memungkinkan ledakan kuasa rakyat tanggal 9 Mei 2018.
“Justeru, jika ditelaah semula pencapaian-pencapaian yang telah dicapai oleh pentadbiran hari ini, ternyata ia suatu pencapaian yang belum pernah terjadi dalam sejarah negara dan tidak dinafikan juga masih banyak lagi yang perlu dilunaskan dan diselenggara supaya negara ini akan kembali dihormati dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar berada di Penjara Sungai Buloh ketika PH yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya menguasai Putrajaya pada malam 9 Mei tahun lalu.
Untuk rekod, hari ini mencerminkan setahun kemenangan PH selepas PRU-14.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memimpin PH sehingga dapat memerintah Putrajaya.
“Saya secara peribadi ingin menyatakan penghargaan buat Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusaha menggembeleng seluruh tenaga dan pihak dari kalangan pembangkang ketika itu dalam usaha merubah lanskap politik negara ke tahap yang kita kecapi hari ini.
“Justeru marilah bersama-sama kita merapatkan saf dan kembali membetulkan tekad dalam memaknai perubahan yang diimpikan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, usaha dan upaya PH dalam menggagas reformasi juga harus dimaknai dengan dasar-dasar ekonomi yang mengangkat dan membebaskan masyarakat.
“Tekad dan iltizam politik juga harus diselaraskan agar ia benar-benar memberi dampak yang menyeluruh agar kekayaan itu tidak hanya berlegar dalam kalangan mereka yang kaya dan berpangkat sahaja malah ia mesti mengesankan mereka yang menderita, terpinggir dan melarat.
“Harus diingatkan juga bahawa masalah hubungan antara kaum dan agama di negara ini dilihat semakin meruncing tatkala Pakatan Harapan sedang menjelmakan perubahan dan reformasi yang didambakan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette