Home Politik Pemimpin Putra perlu baiah

Pemimpin Putra perlu baiah

Dr. Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Setiap pemimpin Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) perlu melafaz sumpah atau baiah, kata Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Kata beliau, baiah itu tidak sampai ke tahap menceraikan isteri sehingga talak tiga sebagaimana termaktub dalam lafaz ikrar sumpah sebuah parti politik.

“Kita akan bincang secara menyeluruh cadangan ini. Mungkin setakat sumpah laknat, bukan melibatkan cerai talak tiga.

“Baiah ini penting kerana prinsip dan pegangan penubuhan Putra ialah mempunyai pemimpin yang bersih, berintegriti, tidak terlibat dengan rasuah dan sebagainya.

“Kita akan mengelakkan dari menjadi pemimpin munafik. Cukuplah rakyat menderita dengan kegagalan kerajaan hari ini, kita pula tidak tetap pendirian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Ibrahim, Putra bukan parti cakap lain, buat lain, atau dengan kata lain, cakap tak serupa bikin.

Ini kerana, kata beliau, rakyat hampir setiap hari berbicara di akar umbi menyatakan mereka sudah muak dengan perangai pemimpin retorik dan hipokrit.

“Oleh itu, Putra adalah parti alternatif dan memahami cita rasa rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, komitmen Putra ialah memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air sebagaimana diperjuangkan pemimpin terdahulu seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tun Hussein Onn.

Mengenai pendirian Putra, Ibrahim berkata, pihaknya akan memberi keputusan itu tiga tahun dari sekarang kerana masih sibuk dengan pelbagai urusan untuk mengukuhkan organisasi parti itu. – MalaysiaGazette