KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerlukan masa dalam usaha untuk menyelamatkan negara ini sebaik mengambil tampuk pemerintahan 9 Mei lalu.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadaan itu perlu memandangkan PH mengambil alih pemerintahan selama 61 tahun oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya percaya dengan komitmen kerajaan untuk membanteras rasuah, meningkatkan integriti dalam pentadbiran dan menyediakan ekosistem pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, cita-cita mewujudkan kemakmuran bersama ini akan dapat dicapai.
“Yang penting ialah kerajaan dengan dokongan rakyat terus memberikan tumpuan kepada usaha-usaha untuk memajukan negara dan membela nasib rakyat. Saya berdoa semoga Malaysia akan terus berada di landasan yang betul dan rakyatnya sentiasa dilimpahi dengan nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya selama setahun, banyak kejayaan yang telah dicapai oleh PH selain terdapat beberapa kekurangan yang masih perlu diperbaiki oleh pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ujarnya, antara kejayaan yang paling utama ialah meletakkan semula Malaysia di landasan yang betul untuk membolehkan negara kita dipacu ke arah mencapai matlamat kemakmuran bersama.
“Sebagai langkah awal, agenda Reformasi Institusi telah dimulakan dengan pelaksanaan beberapa inisiatif seperti penubuhan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bertujuan meningkatkan kredibiliti Parlimen sebagai institusi demokrasi utama yang mewakili suara rakyat.
“Di peringkat pentadbiran kerajaan, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) telah ditubuhkan dengan diberikan tanggungjawab untuk menggubal dasar dan melaksanakan strategi meningkatkan integriti dan tadbir urus yang baik termasuk pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional,” katanya lagi.
Hari ini, PH meraikan ulangtahun pertamanya selepas menumpaskan kerajaan BN pada 9 Mei tahun lalu.
Pada PRU-14 lalu, PH yang dianggotai beberapa parti komponen iaitu PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menang dengan memperoleh 121 kerusi Parlimen.
PKR memegang sebanyak 49 kerusi Parlimen dengan penambahan 19 kerusi, berbanding 30 kerusi yang dicapai pada PRU-13, manakala DAP memperoleh 42 kerusi, naik empat kerusi berbanding pilihan raya lima tahun lalu.
Dua parti baharu serpihan UMNO dan Pas, PPBM dan Amanah, turut membuat kejutan apabila masing-masing memenangi 10 serta 12 kerusi Parlimen. -MalaysiaGazette