NEW YORK – Amerika Syarikat nampaknya merancang supaya Palestin menyerah diri kepada Israel dan bukannya melaksanakan perjanjian damai, dakwa Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki.
Al-Maliki berkata demikian semasa mesyuarat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dihadiri oleh Perunding Pendamaian Amerika Syarikat, Jason Greenblatt.
Greenblatt dan penasihat White House, Jared Kushner telah menghabiskan dua tahun membangunkan kertas cadangan dalam menyediakan rangka kerja pembaharuan antara Israel dan Palestin.
Pelan itu dijangka akan dilancarkan pada bulan Jun.
“Kami tidak mampu untuk tidak terlibat dengan usaha damai, tetapi sayangnya usaha pentadbiran AS tidak dapat dicirikan dan tidak dapat memenuhi syarat, sebagai usaha damai.
“Setakat ini, semua usaha bukan menunjukkan pelan damai, tetapi syarat-syarat penyerahan dan tidak ada jumlah wang yang boleh membuatnya dapat diterima,” tegas al-Maliki dalam pertemuan tidak rasmi dengan anggota Dewan Keamanan PBB mengenai pemukiman Israel di wilayah Palestin.
Cadangan itu mempunyai dua komponen utama – antaranya menangani isu-isu teras seperti status Baitulmaqdis, dan bahagian ekonomi yang bertujuan untuk memperkukuhkan ekonomi Palestin.
Kushner dan Greenblatt tidak mengatakan sama ada ia merupakan penyelesaian dua negara, matlamat kepada usaha perdamaian pada masa lalu.
“Wawasan keamanan yang akan segera kami tunjukkan akan realistik dan boleh dilaksanakan, tetapi ia memerlukan kompromi daripada kedua belah pihak.
“Kami benar-benar berharap kedua-dua rakyat Israel dan Palestin akan melihat pandangan kita untuk perdamaian apabila kita mendedahkannya sebelum sebarang langkah unilateral diambil,” kata Greenblatt memberitahu pertemuan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang dianjurkan oleh Indonesia.
Palestin telah menolak usaha Amerika Syarikat sejak Presiden Donald Trump memutuskan pada 2017 untuk memindahkan kedutaaan negaranya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis dan mengisytiharkannya sebagai ibu kota Israel.
Palestin mahu Tebing Barat, timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza, semua wilayah yang ditawan oleh Israel pada tahun 1967. – MalaysiaGazette