KUALA LUMPUR – Pusat Konvensyen dan Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) berjaya dalam bidaannya untuk menjadi lokasi penganjuran Kongres Penyakit Berjangkit Antarabangsa (ICID) 2020.
Dengan kemenangan itu, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan menerima lebih 3,000 profesional penjagaan kesihatan dunia pada tahun depan, sekali gus bakal menghasilkan rangsangan ekonomi bernilai RM14.5 juta kepada negara.
Menurut Pengurus Besar Pusat Konvensyen, Alan Pryor, gembira kerana KLCC ini telah secara konsisten diiktiraf sebagai tempat acara untuk menjayakan persidangan perubatan persatuan bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, rekod cemerlangnya dalam menarik dan menganjurkan acara perubatan skala besar menunjukkan bahawa pelanggan menghargai pendekatan, kerjasama, kepakaran dan penyediaan perkhidmatan yang disediakan.
“Keputusan ICID untuk kembali ke pusat konvensyen ini membuktikan bahawa kami mampu menyediakan pengalaman pelanggan terbeza menerusi penyelesaian yang termampu, inovatif dan bernilai tambah.
“Ini juga membuktikan tawaran acara perniagaan Malaysia yang menarik dan menaikkan nama Malaysia yang semakin diperakui
sebagai hab mesyuarat perubatan di rantau ini,” katanya di sini.
Mengulas mengenai pilihan destinasi ICID 2020, Pengurus Persidangan ICID 2020, Doris Steinbach berkata, pengalaman menarik semasa penganjuran ICID pada 2008 membuatkannya untuk kembali ke KLCC.
“Susun atur pusat konvensyen ini memang hebat, dengan segala ruang yang kami perlukan di satu tingkat, menyenangkan peserta untuk menggunakan segala kemudahan.
“Tiga hotel yang terhubung secara langsung kepada lokasi juga amat memudahkan dan memberikan nilai hebat kepada peserta,” katanya.
Persidangan bertaraf antarabangsa itu disertai oleh 102 negara. – MalaysiaGazette