KUALA LUMPUR – Hasrat kerajaan Pakatan Harapan (HP) hendak menghapuskan Akta Hasutan 1948 mendapat bantahan daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Menurut pertubuhan itu, walaupun kerajaan mahu menggantikan dengan akta atau peraturan baharu, ia pastinya tidak sama dengan Akta Hasutan sedia ada.
Tegas Ketua Penerangannya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, tanpa Akta Hasutan pasti agama Islam, Institusi Raja-Raja Melayu dan Fasal 152, 153, 181 serta lain-lain yang berkaitan akan menerima serangan lebih dashyat.
Malah katanya, sekarang polis juga sudah kehilangan banyak akta atau instrumen untuk mengekang keselamatan kerana perkauman dan ketegangan agama yang makin serius.
“Perkasa kekal atas pendirian dan menggesa akta ini dikekalkan. Walaupun kerajaan mempunyai alasan akan diganti dengan akta atau peraturan baru, ianya tidak sama dengan Akta Hasutan yang sedia ada.
“Cukuplah setakat ISA sebagai keris taming sari Perlembagaan Persekutuan dimansuhkan sebelum ini. Seberat mana pun keperluan, adalah lebih baik akta ini dikaji dan ditambah baik berbanding dimansuhkan.
“Setelah seketika hal pemansuhan Akta Hasutan lekang dalam ingatan, hari ini Malaysia dikejutkan sekali lagi dengan kenyataan menteri akan memansuhkan akta itu tahun ini juga,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong menjangkakan Akta Hasutan 1948 akan diganti atau dimansuhkan pada tahun ini.
Katanya, walaupun Akta Hasutan terletak bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN), pihaknya bekerjasama dengan kementerian lain untuk menjayakannya.
Menurut Nasrul Ali Hasan, Akta Hasutan itu bukan undang-undang bagi mempertahankan kaum atau agama tertentu, tetapi merupakan benteng untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia dari ancaman yang mampu mengancam keselamatan negara.
Tegas beliau, antara ancaman masih wujud di negara ini adalah konflik antara kaum.
“Kita satu negara unik kerana berbilang kaum. Jadi perlu kita menjaga keharmonian ini dan ada undang-undang untuk menyekat mana-mana orang dari membuat tindakan yang boleh mengakibatkan keamanan dan keselamatan tergugat.
“Suasana negara dan keselamatannya hari ini seperti telur di hujung tanduk atau api dalam sekam akibat dari ledakan media sosial dan teknologi maklumat yang meluas.
“Pelbagai isu timbul hingga mengakibatkan ketegangan politik. Isu perkauman dan agama tidak semena-mena menjadi tegang,” katanya.
Beliau memberi contoh, isu penghinaan Rasullulah SAW, cemuhan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu, peristiwa rusuhan kuil di Seafield Subang dan banyak lagi termasuk pelbagai tuntutan sensitif.
Katanya, walaupun Malaysia sebuah negara demokrasi, pemimpin tidak seharusnya terlalu berlembut hingga terikut-ikut dengan demokrasi barat mengenai hak asasi dan hak bersuara.
“Mereka yang terlibat melaga-lagakan antara kaum, mengapi-apikan masyarakat, mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan kemudian meminta maaf dan menarik balik kenyataan tetap perlu diambil tindakan tegas.
“Yang salah tetap salah, hukuman perlu dilaksanakan dan berlaku adillah tanpa bersikap pilih bulu dan pilih kasih.
“Akta Hasutan diwujudkan untuk menghalang mana-mana orang menghasut supaya mereka tidak menimbulkan keadaan pergaduhan kaum,” katanya.
Beliau meminta rakyat Malaysia bangkit dan bersama menggesa akta itu dikekalkan.
“Jangan hanya mendengar kata-kata orang berkepentingan sahaja, selidiki dan tingkatkanlah kefahaman agar kita tidak rugi kemudian hari.
“Jangan sehingga terjadi seperti bidalan yang biasa diungkapkan ibarat dengar guruh di langit air tempayan dicurahkan.
“Jika Akta Hasutan ini tetap dimansuhkan, sudah tentu segenap bidang dan perihal akan dikompromi. Jangan tunggu nasi menjadi bubur,” katanya.
Beliau menyatakan, Perkasa ingin mengingatkan kepada kerajaan, penghapusan Akta Hasutan 1948 haruslah mendapat ampun perkenan Majlis Raja-Raja Melayu terlebih dahulu sebelum boleh dimansuh.
Ini kerana, tegas beliau, keselamatan rakyat dan negara mesti menjadi keutamaan bagi menjamin kesejahteraan negara. – MalaysiaGazette