
KUALA LUMPUR – Selepas digelar ‘budak bodoh’ oleh Perdana Menteri, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tengku Ismail Sultan Ibrahim masih memilih untuk berdiam diri dan ‘tutup mulut’ daripada isu itu.
Walaupun TMJ menyedari hubungannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin keruh namun kerabat diraja Johor itu memilih untuk turun padang menyelami keluh-kesah rakyat khususnya selepas genap setahun PH memerintah negara semalam.

Sebaliknya putera sulung Sultan Ibrahim itu mencuri tumpuan orang ramai sebelum dikerumuni apabila pengunjung dan peniaga menyedari kehadirannya yang singgah di Bazar Ramadan kira-kira jam 6.10 petang di Stadium Muar, Johor, semalam.
Baginda melakukan kejutan itu apabila melawat dan meluangkan masa hampir setengah jam untuk membeli juadah berbuka puasa sebelum disedekahkan kepada pihak yang memerlukan.

Tunku Ismail turut berkenan meluangkan masa untuk beramah mesra dengan pelbagai lapisan kaum di Muar termasuk sempat berswafoto dengan beberapa pengunjung dan peniaga bazar.

Peluang keemasan itu tidak dilepaskan pengunjung dan peniaga bazar yang hadir apabila melihat Tunku Ismail tidak kekok turun padang menemui rakyat yang tidak lokek dengan senyuman ketika bersama mereka.

Sebelum keberangkatan pulang, Tunku Ismail turut meluangkan masa hampir sejam berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib bersama rakyat di Masjid Sulaimaniah, Parit Pinang Seribu Darat, Muar.

Lebih manis lagi apabila baginda berbuka puasa dengan hidangan nasi ambeng di pekarangan masjid berkenaan bersama ratusan rakyat yang hadir. – MalaysiaGazette