Home Dunia Anak tikam ibu 30 kali dihukum penjara sembilan tahun

Anak tikam ibu 30 kali dihukum penjara sembilan tahun

Anak yang menikam ibu dalam cubaan membunuh dipenjara sembilan tahun

LONDON – Seorang pelajar yang menyatakan kasih sayang kepada ibunya lalu menikam sebanyak 30 kali dipenjara sembilan tahun.

Kyle Morrison, 20 menyerang ibunya, Sharon Morrison, 51, di kediamannya di Jordanhill, Glasgow Ogos lalu.

Hakim yang mendengar hujah dan penjelasan mengenai hubungan ibu dan anak itu yang berakhir dengan serangan berdarah.

Tertuduh juga didapati meninggalkan nota rancangan membunuh ibunya.

Morrison pelajar Universiti Hariot Watt di Edinburgh disabitkan kesalahan membunuh ibu kandungnya dan dipenjarakan hari ini.

Hakim Mulholland berkata, Sharon bernasib baik kerana masih hidup dan menjelaskan motif Morrison yang cuba membunuh ibunya kelihatan seperti ‘sakit’.

Katanya, remaja itu yang akan diletakkan di bawah pemerhatian rapi selama tiga tahun dikhuatiri masa depannya boleh terjejas.

“Kamu adalah anak Sharon dan sebagai ibu dia yang melahirkan dan membesarkan kamu di dunia ini dan memberi segala peluang sehingga hari ini.

“Ini satu jenayah ngeri yang memberi kesan jangka panjang pada emak kamu,” katanya.

Pendakwaraya Lynsey MacDonald memberitahu mahkamah bahawa rancangan pembunuhan itu adalah dengan bersembunyi dan menyerang.

Morrison yang duduk dengan emaknya selepas meninggalkan asrama di London didakwa menyerang ibu kandungnya pada 22 Ogos lalu setelah mangsa pulang dari kerja.

Ketika wanita itu masuk bilik tidur untuk menukar pakaian, anaknya muncul dan menyerangnya menggunakan pisau.

Mangsa dikatakan merayu kepada suspek untuk melepaskannya.

Morrison sebenarnya meninggalkan emaknya yang berlumuran darah dan masuk ke dalam bilik dan bermain muzik.

Sharon terlantar di atas lantai bilik tidur lebih 20 minit sebelum meayu anaknya memanggil ambulans.

Morrison kemudian mendial 999 dan memaklumkan dia cuba membunuh ibunya dan meminta bantuan.

Paramedik yang bergegas ke rumah mangsa mendapati Sharon masih di atas lantai bilik tidur rumah flatnya dengan luka 30 tikaman di badannya.

Anaknya ditahan polis pada keesokan harinya di Edinburgh dan dirawat di hospital.

Mahkamah juga memutuskan tidak ada sebab untuk menahan suspek di hospital sebelum menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun. – MalaysiaGazette