Home Sukan Arsenal bidas UEFA gagal jamin keselamatan Mkhitaryan

Arsenal bidas UEFA gagal jamin keselamatan Mkhitaryan

Arsenal menyatakan kebimbangan UEFA belum mengesahkan jaminan keselamatan Mkhitaryan semasa aksi final Liga Europa menentang Chelsea di Azerbaijan 29 Mei ini.

LONDON – Arsenal menuduh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) gagal menyediakan jaminan keselamatan untuk perjalanan Henrikh Mkhitaryan ke ibu negara Azerbaijan.

Arsenal dan Chelsea akan berentap pada perlawanan akhir Liga Europa 29 Mei ini di Baku.

Arsenal bimbang keselamatan Mkhitaryan akan terjejas sekiranya dia berkunjung ke Baku disebabkan ketegangan hubungan diplomatik antara Armenia dan Azerbaijan berikutan sejarah pertikaian wilayah Nagorno-Karabakh.

Pemain berusia 29 tahun itu tidak beraksi ketika pasukannya menang 3-0 ke atas kelab Qarabag pada Oktober lalu dan tinggal di rumah semasa Borussia Dortmund berdepan Gabala semasa musim 2015-16.

Arsenal bagaimanapun cuba mendapatkan pelepasan antarabangsa bagi Mkhitaryan pada awal musim ini dan kali ini Unai Emery mahu pemain itu bersama skuad pada perlawanan akhir.

Arsenal menerusi satu kenyataan berkata: “Keselamatan pemain kami sangat penting. Kami menagih jaminan daripada UEFA bahawa Mkhitaryan selamat meneruskan perjalanan ke Baku untuk aksi final Liga Europa bersama skuad the Gunners.

“Bagaimanapun jaminan belum diterima dan harap UEFA bersedia memberi perlindungan.

“Kami risau lokasi berlangsungnya perlawanan akhir nanti boleh menyebabkan Micki tidak dapat beraksi,” kata kelab itu.

Mkhitaryan memainkan peranan utama dalam perjalanan Arsenal ke final khususnya semasa menentang Valencia walaupun tidak menjaringkan gol.

Micki dan Ozil dua pemain yang dikhabarkan akan meninggalkan Aeswnal kerana Emery bakal merekrut pemain baharu ke kelab London Timur itu pada musim hadapan. – MalaysiaGazette