KUALA LUMPUR – Gabungan Teksi, Kereta Sewa Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Semalaysia (GTSM) akan menggerakkan satu perhimpunan mega melibatkan lebih 20,000 pemandu dan pengusaha teksi dari seluruh negara.
Yang DiPertua gabungan tersebut, Kamarudin Mohd Hussain berkata, Perhimpunan Reformasi 2.0 itu mensasarkan pengumpulan sekurang-kurangnya 4,000 orang di hadapan Jabatan Perdana Menteri Putrajaya pada 19 Jun ini.
Yang Dipertuanya Kamarudin Mohd Hussain berkata, ia bertujuan untuk mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendengar rintihan serta membela nasib dan kebajikan pengusaha teksi di negara ini.
Bagaimanapun beliau menyatakan kesediaan untuk membatalkan perhimpunan itu sekiranya Dr Mahathir bersetuju dan bersedia berjumpa serta berbincang mengenai permasalahan pengusaha teksi di negara ini.
“Rabu lepas Tun M menyatakan hasrat untuk jumpa lebih banyak kumpulan masyarakat untuk mendengar masalah mereka. Kami juga hantar surat kepada Tun pada 18 April lalu untuk berbincang mengenai masalah kebajikan pengusaha teksi, kami akan susuli surat kedua untuk bertemu beliau mengetengahkan masalah kami.
“Sekali lagi kami akan menggerakkan kesemua hampir 150 persatuan ahli teksi dibawah GSTM seluruh negara berhimpun di Putrajaya dan akan menzahirkan rasa tak puas hati kepada Anthony (Menteri Pengangkutan – Anthony Loke) dan mahu minta PM bantu,’ katanya pada sidang media di Jalan Ampang di sini.
“Sebenarnya kami berharap satu rundingan dapat diadakan dengan Anthony selaku menteri dan sekiranya Tun M bersetuju jumpa kami dan bincang permasalahan kami, kami sedia membatalkannya himpunan itu.
“Tapi dengan syarat kerajaan dengar rintihan kebajikan kami dan wujudkan padang persaingan benar benar adil dan saksama, kerana apa yang berlaku hari ini adalah demi kepentingan Grab sahaja bukan semua industri awam,” katanya.
Kamarudin juga menegaskan pihaknya akan memfailkan saman ke atas Jabatan Pengangkutan Jalan dan Kementerian Pengangkutan pada hari yang sama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Menurutnya, GSTM mengambil keputusan memfailkan saman kerana kedua-dua pihak membenarkan syarikat e-hailing iaitu Grab beropersi secara haram di negara ini sejak 2011 sehingga 2017 tanpa sebarang tindakan penyelarasan dengan teksi yang tertakluk dengan peraturan pengangkutan awam.
“Sepatutnya e-hailing diselesaikan pada Mei 2018 atas prinsip ‘rule of law’ tapi dia enggan mengadakan sebarang kajian dan perbincangan dengan pengusaha teksi menyebabkan masalah itu berterusan hari ini.
‘Keputusan yang dibuat beliau (Anthony Loke) selama ini hanya berdasarkan apa yang dirancangkan kerajaan terdahulu.
“Kami telah tulis surat kepada beliau sekurang kurangnya 7 kali untuk panggil berbincang ke meja rundingan secara diplomatik malangnya sehingga kini satu surat pun tak dilayan dan membuat keputusan yang memihak Grab,” katanya. – MalaysiaGazette