Home Utama EKSKLUSIF: Kami fikir ejen-ejen ini mahu jual organ dalaman kami

EKSKLUSIF: Kami fikir ejen-ejen ini mahu jual organ dalaman kami

Mangsa tahanan di Kemboja, Nur Iqhwan Tejudin tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual mengenai pengalamannya yang dipenjara di Kemboja pada tahun lalu di Restoran Popular Food Garden, Kuching Serian, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 04 APRIL 2019

SARIKEI – Resah, gementar, bingung – Itu gambaran erasaan anak muda berusia 24 tahun ini yang amat sukar untuk dirungkaikan.

Bermula dengan perjalanan mencari rezeki di perantauan, dia tidak menyangka segala keterujaan sebaik sahaja menerima tawaran bekerja di Kemboja berakhir dengan ketakutan di dalam penjara di negara yang terlalu asing baginya.

Sesekali anak muda yang kami temui di bumi Kenyalang ini mengesat air matanya, tidak mampu membendung perasaan sebak apabila mengimbau pengalaman menjadi salah seorang mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja.

Muhamad Nur Ikhwan Tejudin yang berasal dari Sarikei, Sarawak ketika ditemui MalaysiaGazette berkongsi pengalaman perit yang dilaluinya selepas meninggalkan keluarga dan tujuh adik beradiknya sehingga akhirnya terperangkap di dalam sebuah banglo misteri di Kemboja.

Menyingkap kisahnya, anak muda yang lebih mesra dipanggil Wan itu memberitahu, sepanjang dikurung lebih dua bulan di dalam banglo misteri, dia dan 40 mangsa lain diberi makan lauk ayam saban hari, itupun tengah hari dan malam manakala pagi hanya air kosong.

MGF05042019_TEMBUAL MANGSA TAHANAN DI KEMBOJA28
Nur Iqhwan Tejudin tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual mengenai pengalamannya dipenjara di Kemboja pada tahun lalu. -. foto AFFAN FAUZI, 04 APRIL 2019

EJEN BERNAMA ‘MR TAN’ DAN ‘MR PP’

Segala-galanya bermula apabila Wan melihat iklan kerja kosong di Kemboja dengan gaji dalam dolar AS, dia terus menghubungi penama itu dalam laman sosial Facebook dan sering berhubung dengan ejen bernama ‘Mr Tan’ melalui messenger Facebook.

“Mr Tan tanya macam-macam, tentang keluarga. Tentang pasport. Kemudian Mr Tan cakap syarikatnya akan tanggung semuanya termasuk pasport. Saya percaya apabila dia meminta nombor akaun kemudian masukkan duit buat pasport.

“Saya kenal pada penghujung September, hujung Oktober sudah terbang ke Kemboja. Saya hanya diberitahu di sana nanti ada seorang lelaki bernama ‘Mr PP’ akan menjemput kami, dengan saya ketika itu ada Yusuf Islam dan kawan perempuannya. Kami hanya bertiga pada masa itu. Saya sendiri baru berkenalan dengan mereka ketika di lapangan terbang.

“Apabila sampai di Kemboja, Mr PP sudah menanti dengan ‘placard’ di luar lapangan terbang, tidak banyak bicara, kami tidak tahu dia bangsa apa. Dia hanya cakap, perjalanan jauh jadi lebih baik tidur. Katanya akan ambil masa empat hingga lima jam ke tempat ‘kerja’ kami.

“Sepanjang perjalanan, kami semua diam sahaja dan tidur. Peliknya apabila kami hendak sampai ke tempat itu, Mr PP minta kami serahkan pasport dan telefon bimbit. Katanya itu peraturan yang perlu di patuhi apabila kami tanya. Kami juga tidak mahu tanya banyak sangat.

“Tempat yang dia bawa juga sedikit menakutkan kerana penuh hutan tebal, di tengah-tengah itu ada sebuah banglo. Kami bertiga di minta masuk ke dalam banglo itu sebelum di kunci dari luar.

“Tidak sempat tanya apa-apa. Kami tengok ada beberapa dalam rumah itu tapi tidak berani bertegur sapa. Kami diberikan satu bilik, tiga orang. Ada satu bilik air, tilam dan bantal. Itu sahaja,” katanya.

MGF05042019_TEMBUAL MANGSA TAHANAN DI KEMBOJA23
Nur Iqhwan Tejudin

MIMPI NGERI BERMULA DALAM BANGLO

Wan kemudian berkata, selama lebih dua bulan mereka menjadi tahanan dalam rumah tersebut tapa diberikan apa-apa maklumat, yang pastinya rutin harian mereka hanya bangun pagi, minum air kosong kemudian makan tengah hari dan malam serta tidur.

Saban hari itu sahaja aktiviti mereka. Peliknya, ada seorang tukang masak yang tidak bercakap dengan mereka sebaliknya akan masak lauk ayam pada sebelah tengah hari dan diminta makan tanpa ‘banyak bunyi’.

“Tapi makin lama makin ramai mula hadir ke rumah itu, akhirnya dalam 40 orang dalam rumah banglo itu. Rata-rata dari Sarawak tapi ada juga dari China dan Taiwan. Semuanya datang ke Kemboja dengan hasrat mahu bekerja dengan gaji lumayan. Itu sahaja.

“Kami juga tidak berani untuk bercakap antara satu sama lain kerana sentiasa diperhatikan. Ada CCTV seluruh rumah. Pernah apabila ejen datang, kami akan bertanya bila kami boleh bekerja atau hantar kami pulang sahaja.

Sebaliknya kata Wan tidak ada sebarang respon sebaliknya mereka duduk sahaja dalam rumah banglo itu. Kadang-kadang, seperti mahu gila diperlakukan seperti itu tanpa komunikasi dengan dunia luar atau keluarga.

MGF05042019_TEMBUAL MANGSA TAHANAN DI KEMBOJA29
Mangsa tahanan di Kemboja, Nur Iqhwan Tejudin melakukan kerja-kerja sambilan di Restoran Popular Food Garden, Kuching Serian, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 04 APRIL 2019

KAMI RISAU ORGAN KAMI DI JUAL

Jelas Wan ketika duduk bersendirian mahupun bersama teman bilik Yusuf dan kawannya, mereka akan terfikir sehingga yang terburuk apa yang bakal terjadi dengan mereka.

Antaranya seperti penjualan organ badan kerana perkara seumpama itu pernah di baca dan di dengari oleh mereka.

“Kami risau sangat jika ejen-ejen ini berminat dengan organ kami. Jika tidak mengapa kami tinggal di sini, tidak buat kerja, hanya di beri makan saban hari. Hampir dua bulan. Untuk datang sini juga di tanggung sepenuhnya. Pelik juga. Takut juga.

“Walaupun tanya untuk dihantar pulang, tidak pernah ada respons. Agak-agaknya, fikir takut organ kena jual. Fikir itu sahaja. Sampai ke habis kami tidak tahu untuk apa kami di tangkap dan di kurung dalam banglo itu,” jelasnya.

“Dalam fikiran pasal keluarga, apakah yang sedang dilakukan. Dalam tempoh dua bulan itu, makin lama makin ramai, ramainya dari Malaysia. Ada juga dari China, Taiwan. Sekurang-kurangnya ada 40 orang dalam rumah itu.

“Kami dalam rumah itu, tidak pernah bergaduh sesame sendiri, hendak tanya banyak pun takut. Dia masak sekali dekat rumah. Nasi dan lauk ayam. Kadang-kadang, tidak mahu makan. Celaru. Tidak bertegur sapa dengan sesiapa.

“Kawasan itu terpencil, hutan tebal. Basuh baju, sidai sendiri. Itu sahaja aktiviti tiap hari,” katanya.

MGF05042019_TEMBUAL MANGSA TAHANAN DI KEMBOJA25
Nur Ikhwan Tejudin menceritakan detik-detik yang dilalui di Kemboja. foto AFFAN FAUZI, 04 APRIL 2019

PERNAH CUBA LARI, KENA ACU PISAU, PISTOL

Wan juga mendedahkan akibat tidak tahan, ada dalam kalangan mereka termasuk dirinya dan dia dan Yusuf memberontak sehingga membuat perancangan untuk melarikan diri dengan memecahkan pintu depan.

Tetapi apa yang jauh lebih mengejutkan mereka pada masa itu selepas pintu di di pecahkan ialah empat lima lelaki berbadan sasa dengan senjata seperti pistol dan pisau di acukan kepada mereka.

“Salahs eorang daripada kami sempat bertumbuk tetapi kemudian salah seorang daripada lelaki yang sudah sedia menunggu di luar rumah itu meletakan pisau di belakang tengkuknya. Kami pada masa itu memang seram sekali. Bayangkan mereka ada senjata. Tidak cukup dengan, ada juga kami di pukul.

“Serik selepas itu, memang tidak lagi lakukan cubaan melarikan diri,” tegasnya.

DISELAMATKAN POLIS KEMBOJA

Bagaimanapun, selepas lebih dua bulan, banglo misteri itu diserbu oleh pihak berkuasa Kemboja pada satu pagi.

“Ejen kemudian meminta kami turun ke ‘basement’ dan bersembunyi di situ. Pada masa sama, dia pulangkan semua pasport kami dan minta kami diamkan diri. Bagaimanapun, ada sinar apabila selepas hampir 3 jam, pihak berkuasa berjaya pecahkan pintu dan menjumpai kami.

“Kami gembira walaupun ditangkap dan ditahan dalam suasana mereka bertutur dalam bahasa asing yang kami tidak faham apa, kami cukup gembira. Akhirnya selamat, dapat pulang itu sahaja dalam fikiran,” jelasnya.

Kata Wan, pihak berkuasa kemudian menahan kesemua mereka termasuk ejen-ejen itu  dan ditempatkan di penjara di Pnom Pneh hampir dua minggu lamanya.

“Kami juga naik mahkamah dua kali, tidak pasti atas tuduhan apa kami kena. Kemudian satu hari polis kata kami boleh pulang.

“Kata mereka dalam bahasa inggeris, ‘go home, go home’. Kata-kata itu beri sinar kepada kami.

MGF05042019_TEMBUAL MANGSA TAHANAN DI KEMBOJA24
Mangsa tahanan di Kemboja, Nur Iqhwan Tejudin bercakap ketika ditemubual mengenai pengalamannya yang dipenjara di Kemboja pada tahun lalu di Restoran Popular Food Garden, Kuching Serian, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 04 APRIL 2019

DARI NERAKA KE NERAKA LAIN

Namun sangkaan mereka meleset apabila mereka bukan dibawa pulang sebaliknya di bawa ke Penjara Bantey Meanchey dalam sebuah kawasan pedalaman.

Saat nampak papan tanda ‘Bantey Meanchey Prison’ terus punah harapan mereka.

Kata Wan, kesemua mereka kurang fasih berbahasa Inggeris maka komunikasi antara mereka juga sukar.

“Kami ditahan pula di dalam penjara itu untuk lebih dua bulan. Bayangkan kami tidak tahu apa yang akan berlaku dengan kami, tidak bercakap dengan keluarga. Kami tiggal bersama-sama dengan para penjenayah lain di negara itu.

“Memang rasa tertekan dan seolah-olah tidak harapan lagi. Saya cuma fikir keluarga, rindu mereka. Terfikir kesusahan mereka. Apa yang mereka buat tanpa saya. Dan macam-macam lagi.

“Kehidupan dalam itu juga sangat susah, macam-macam kami lalui. Makanan, cara hidup, pergaulan, kebebasan, air, kebersihan. Semuanya isu api kami terpaksa bertabah dan berdoa saban hari,” ujarnya.

Kemboja1

MAKAN TIKUS INGATKAN ARNAB

Wan mendedahkan sejurus selepas mula membiasakan diri dengan keadaan penjara dalam itu, beberapa pegawai penjara malah penjenayah berpangkat ‘senior’ mula berjinak-jinak menjadi sahabat khasnya Yusuf Islam.

Kata Wan, makanan yang diberikan di situ hanyalah nasi kosong dan air kosong. Itu adalah menu untuk lebih sebulan di dalam penjara tersebut.

Bagaimanapun, masuk bulan kedua, kerana mula berbaik dengan pegawai penjara, satu mereka mereka di datangi dan diberikan daging ‘arnab’.

https://youtu.be/QDwqa7Ilqhg

“Katanya, this rabbit. Eat,” kata warden itu.

“Kami dengan gembira makan dengan lahapnya, rasanya susah hendak cakap kerana sudah lama tidak makan apa-apa selain nasi kosong, air kosong. Kadang-kadang sahaja dapat sayur.

“Tapi kemudian kami dapat tahu, daging arnab itu sebenarnya bukan arnab sebaliknya tikus yang berleluasa di kawasan itu. Tidak dapat gambarkan perasaan kami.

“Warden itu dengan tidak sengaja menunjukan gambar tikus ketika menonton filem dalam telefon bimbitnya, ada gambar tikus. Terus teruja kata, ‘rabbit’. Baru kami tahu, rabbit itu adalah tikus mengikut fahaman mereka.

“Sejak itu, kami tidak pernah apabila disajikan, sekali dan terakhir,” ujarnya. -MalaysiaGazette

EKSKLUSIF: Ibu dedah pengalaman lawat anak di penjara Kemboja

EKSKLUSIF: Kisah Uncle Azra hero di sebalik pembebasan 47 rakyat Malaysia

Apa yang penting, 47 rakyat kita sudah selamat pulang, usah politikkan – Larry Sng

Polis tahan individu paling dikehendaki kes tipu rakyat Malaysia di Kemboja