Home Politik UMNO telah sedia bangkit – Ismail Sabri

UMNO telah sedia bangkit – Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – UMNO dan ahli telah bersedia mengharungi segala cabaran untuk membina kembali negara ini selepas kejatuhannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bersandarkan kepada jasa yang ditunjukkan barisan kepimpinan dan ahli sejak kekalahan Barisan Nasional (BN) Mei tahun lalu, beliau yakin UMNO boleh bangkit semula.

Katanya, semangat perjuangan parti keramat UMNO tidak akan luntur dengan segala retorik Pakatan Harapan (PH).

“UMNO tidak akan berdiam apabila harapan rakyat terabai dan nasib rakyat tidak lagi terbela. Sehingga kini UMNO sentiasa berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira kaum dengan membawa prinsip menjulang agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, UMNO akan terus berbakti kepada rakyat walau dalam keadaan serba kekurangan dari segi sumber kewangan.

Ujar beliau, kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland, DUN Semenyih dan DUN Rantau baru-baru ini membuktikan parti itu adalah suara rakyat yang sebenar.

“Rakyat mengharapkan UMNO untuk membela kembali nasib mereka; petani, peladang, nelayan, penduduk pedalaman, peniaga, belia dan seluruhnya,” katanya.

Beliau berkata, demi kebangkitan itu, UMNO telah mengambil langkah besar menjalinkan kerjasama bersama Pas untuk mengukuhkan Perpaduan Ummah kerana tidak mahu umat Islam dan Melayu berpecah belah.

Katanya, UMNO dan Pas juga tidak akan membiarkan agenda PH seperti ratifikasi ICERD, Statut Rom, pindaan perlembagaan dan agenda terselindung mereka mengganggu gugat keamanan negara yang tercinta.

“UMNO dibina dengan penuh kepayahan, kewibawaan untuk membentuk sebuah kerajaan yang merdeka. Jasa UMNO juga terlalu besar untuk kita biarkan parti keramat ini musnah oleh kerana retorik yang dibawa oleh PH,” tegasnya. – MalaysiaGazette