PUTRAJAYA – Kekosongan jawatan tetap pengarah Jabatan Cawangan Khas, Siasatan Jenayah, Komersial dan Narkotik Bukit Aman akan diisi pada minggu ini.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pelantikan empat jawatan tertinggi dalam Bukit Aman itu akan dilangsungkan dalam istiadat khas Polis Diraja Malaysia beberapa hari lagi.
“Kita akan lantik tidak lama lagi.. dalam masa terdekat kita akan lantik. Dalam minggu ini,” kata beliau ringkas merujuk kepada pelantikan empat jawatan utama dalam Bukit Aman yang masih kosong dan ada yang diisi sebagai pemangku setakat ini.
Ditanya sama ada keempat empat pelantikan itu akan dibuat serentak di majlis yang sama, beliau sempat menjawab ‘ya’ tanpa mengulas lanjut sebelum beredar meninggalkan majlis untuk sidang media khas di Bukit Aman petang ini.
Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette tentang pelantikan jawatan-jawatan tersebut yang telah dikosongkan secara berperingkat sejak beberapa bulan lepas.
Terdahulu Abdul Hamid hadir ke Majlis penyerahan Surat Watikah Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Mazlan Mansor.
Mazlan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang telah bersara wajib pada 17 Mac lalu.
Pelantikan Mazlan berkuatkuasa 9 Mei lalu setelah diperkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.
Mazlan pernah menerajui jawatan Ketua Polis Selangor sebelum menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sejak 29 Januari lalu menggantikan Datuk Seri Amar Singh yang telah bersara ketika itu. – MalaysiaGazette