PUTRAJAYA – Insiden pegawai polis Cawangan Khas (SB) yang didakwa dihalang daripada menghadiri sebarang sidang media anjuran parti Warisan di Sabah kelmarin tidak perlu diperbesarkan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, perkara itu sepatutnya tidak menjadi isu memandangkan adalah menjadi tanggungjawab mana-mana pegawai polis menghadiri sesebuah majlis dalam usaha memastikan keselamatan dan kelancarannya.
“Kenapa ada kebimbangan sangat mengenai sama ada ia SB atau pegawai keselamatan beruniform dan sebagainya.
“Mereka yang mewakili polis mengutamakan keselamatan awam melainkan ini urusan spesifik parti, kami tidak berminat pun untuk menghadiri majlis tersebut.
“Kalau ada urusan sulit parti itu sahaja polis tidak perlu hadir atau pergi ke sana kecuali atas permintaan parti iu sendiri demi aspek keselamatan dan sebagainya,” katanya pada sidang media penyerahan watikah pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parcel D Bangunan KDN hari ini.
Tambah beliau, isu itu timbul hanya disebabkan kekeliruan. – MalaysiaGazette