Home Utama Pelabur global “lari” selepas euforia PRU14 hilang

Pelabur global “lari” selepas euforia PRU14 hilang

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

KUALAMLUMPUR- Setahun selepas berlangsungnya pilihan raya paling bersejarah di Malaysia, euforia rakyat yang menyelebungi kerajaan baharu mula menghilang dan para pelabur juga sudah hilang sabar.

Dana-dana global mula meninggalkan Malaysia untuk mencari pasaran yang lebih baik.

Saham-saham mencatatkan pengaliran keluar pada hampir setiap bulan sepanjang setahun ini manakala ringgit masih terkial-kial mengejar kebanyakan matawang-matawang lain dan pasaran bon pula mungkin berada di kemuncak penjualan.

Harapan yang disandarkan kepada pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mula pudar malah ramai yang mula berhati-hati selepas usaha kerajaan untuk mengurangkan beban hutang negara telah menjejaskan sektor kepenggunaan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Pada 7 Mei lalu, Bank Negara Malaysia menurunkan penanda aras kadar faedah buat pertama kalinya sejak Julai 2016 bagi memberi sokongan kepada ekonomi susulan risiko global yang semakin memuncak.

“Saya tidak fikir ada keperluan untuk tergesa-gesa memasuki pasaran Malaysia buat masa ini.

“Walaupun tarikan penilaian ketika ini semakin jelas tetapi saya tidak rasa tinjauan masa hadapan (ekonomi Malaysia) sudah cukup jelas,” kata Tim Love, yang menguruskan kira-kira AS$1 bilion ekuiti pasaran pesat membangun di London bagi anak syarikat GAM Holding AG.

Penanda aras FBM KLCI jatuh lebih empat peratus tahun ini dan menjadikan Malaysia sebagai pasaran ekuiti yang mempunyai prestasi terburuk di dunia.

Pertumbuhan ekonomi yang semakin perlahan ditambah dengan pendapatan syarikat yang melemah mula menunjukkan impak walaupun penilaian telah ditambah baik.

Keuntungan korporat terjejas selepas kerajaan membatalkan beberapa projek infrastruktur mega bagi mengekang defisit fiskal yang melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun pada 2018.

Beberapa projek termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagaimanapun disambung semula.

Menurut Macquarie Group Ltd., penyambungan semula perbelanjaan infrastruktur mampu merangsang pasaran saham tempatan walaupun semakan FTSE Russel yang mungkin mengeluarkan bon Malaysia daripada indeksnya masih kekal sebagai satu risiko.

Para pelabur masih enggan memasuki pasaran sementara menantikan hasil semakan FTSE Russell berhubung bon tempatan yang akan diumumkan pada September ini.

“Kami memberikan penarafan neutral kepada bon kerajaan Malaysia buat masa ini.

“Keputusan Bank Negara Malaysia untuk menutup pasaran NDF (non-deliverable forward) pada asasnya menjadikan pendedahan kepada lindung nilai adalah mustahil.

“Saya tidak yakin para pelabur akan beramai-ramai kembali ke pasaran hutang Malaysia,” kata Delphine Arrighi, pengurus portfolio Merian Global Investors yang menjaga pelaburan bernilai AS$37 bilion.- Bloomberg