PUTRAJAYA – Kerajaan memberi bayangan bahawa Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan ditubuhkan sebelum akhir tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Rang Undang-Undang (RUU) IPCMC itu akan dibawa ke Parlimen untuk dibentang dan diluluskan.
“Dijangka dan diharapkan boleh dapat kita bentuk IPCMC ini sebelum akhir tahun ini.
“Kita ada beberapa sesi Parlimen yang akan kita hadapi sebelum akhir tahun ini untuk membolehkan RUU IPCMC dibentang dan diluluskan di Parlimen,” katanya kepada pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara di Kementerian Dalam Negeri hari ini.
Ditanya mengenai kebimbangan organisasi dan persatuan yang mewakili anggota polis terdapat kemungkinan kepimpinan IPCMC akan diterajui bukan dalam kalangan pegawai polis, Muhyiddin berkata, komposisi kepimpinan akan ditentukan kemudian.
“Itu mungkin salah satu perkara yang menjadi kekhuatiran mereka.
“Bagaimanapun kami perlu menentukannya apa jua perkembangan susulan berkaitan IPCMC selepas ini, termasuk komposisi ahli dan keanggotaan IPCMC akan memberi gambaran jelas kelak apabila tertubuhnya nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Tan Sri Abu Kassim Mohamed selaku Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) yang ditubuhkan kerajaan pada 1 Jun 2018 telah bermesyuarat dan membincangkan dengan semua wakil persatuan polis mengenai soal berbangkit.
Menurutnya, semuanya menjadi kebimbangan seperti soal kuasa polis, hak merayu dan perkara berkaitan disiplin telah dijawab.
“Wakil wakil persatuan polis pun mendengar semua keterangan dan penjelasan GIACC dan mereka pun berpuas hati,.
“Bagaimanapun kalau minta saya dedahkan butiran terperinci apa yang dibincangkan itu, adalah tidak adil dan tidak sesuai sekarang tetapi ia akan maklumkan kelak oleh badan yang bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette