LONDON – Brighton memecat pengurusnya, Chris Hughton berkuatkuasa semalam.
Kelab itu memberi alasan tindakan itu diambil selepas pasukan tersebut menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-17 Ahad lepas.
Aksi penutup tirai EPL itu menyaksikan Brighton dilanyak 1-4 oleh Manchester City yang berjaya mempertahankan kejuaraannya musim lalu.
Pengurusan kelab Brighton kecewa dengan kekalahan teruk di tangan pasukan juara itu selain menganggap keputusan itu tidak baik setelah menamatkan saingan di tangga ke-17 dalam carta liga musim ini.
The Seagulls hanya mampu menang tiga daripada 23 aksi terakhir merupakan faktor pemecatan Chris.
Pengerusi kelab, Tony Bloom berkata, status itu meletakkan kelab tersebut berisiko dalam pembangunan institusi bola sepak.
Hughton pernah dipilih sebagai pengurus terbaik bulan Mac lalu.
Hughton mempunyai kontrak berbaki dua tahun menyertai Brighton pada Disember 2014 dan berjaya membawa kelab itu beraksi dalam EPL pada 2017.
Beliau berjaya membawa pasukan itu ke separuh akhir Piala FA Emirates sebelum tumbang 0-1 di tangan City.
Pengurus Swansea, Graham Potter, 43, dilihat sebagai calon pilihan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hughton. – MalaysiaGazette