KUALA LUMPUR – Pelawak dan pelakon Zizan Razak tampil berkongsi foto seekor kura-kura yang pernah diselamatkannya sebelum ini.
Menerusi Instagramnya, foto itu mencuit hati pengikutnya kerana kura-kura tersebut memakai ‘baju’ jenama Gucci di bahagian cengkerang.
Malah status pelakon berasal dari Terengganu itu turut menghiburkan kerana dia bangga dengan pencapaian kura-kura itu.
“Alhamdulillah, lama tak berjumpa dan sekarang beliau begitu berjaya dan bergaya. Asal dari nak melintas lebuhraya NPE dan sekarang begitu menyerlah kehebatannya.
“Mana ada kura-kura di dunia bercengkerang Gucci dan beliau saja mampu. Harap beliau semakin maju dan maju,” tulisnya.
Sebelum ini, pada Februari lalu, netizen terhibur dengan video yang dikongsi Zizan apabila menyelamatkan seekor kura-kura di jalan selepas melintasi plaza tol.
Zizan kemudiannya melepaskan kura-kura tersebut di Tasik Shah Alam. – MalaysiaGazette