Home Ekonomi MIDF unjur KDNK suku pertama 4.3%

MIDF unjur KDNK suku pertama 4.3%

Pelabur asing menjual sejumlah AS$704.3 juta ekuiti minggu lalu berbanding AS$705.4 juta pada minggu sebelumnya. - MIDF Research

KUALA LUMPUR – MIDF Research mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku pertama 2019 sebanyak 4.3 peratus berikutan aktiviti ekonomi yang dijangka terus berkembang pada kadar sederhana, dengan perbelanjaan domestik yang berdaya tahan dan prestasi perdagangan luaran yang kurang memberangsangkan.

“Mengenai masa depan, kami melihat momentum peningkatan yang berterusan terutamanya dengan permintaan domestik yang kukuh, kesan kadar dasar semalaman (OPR) yang rendah, pasaran pekerjaan yang stabil, tekanan inflasi yang rendah dan harga komoditi yang meningkat secara berperingkat pada tahun ini.

“Kami menjangka ekonomi akan berkembang sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2019,” menurut firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

Bagaimanapun, katanya sentimen ekonomi menunjukkan penurunan.

“Indeks Sentimen Pengguna (ISP) dan Indeks Keadaan Perniagaan (BCI) MIER (Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia) terus berada di bawah paras ambang 100 mata pada suku pertama. ISP sebanyak 85.6 mata dan BCI pada 94.3 mata.

“Merujuk kepada petunjuk utama dan tanda-tanda keyakinan yang berkurangan, pertumbuhan KDNK pada suku pertama 2019 dijangka mencatatkan lebih rendah daripada suku tahun sebelumnya,” katanya.

Mengenai landskap ekonomi yang luas, MIDF Research berkata, ketegangan perdagangan yang meningkat antara Amerika Syarikat dan China akan menghalang perkembangan pertumbuhan global dan aliran perdagangan serta kekal sebagai risiko penurunan kepada negara-negara yang berorientasikan eksport termasuk Malaysia.

Aliran perdagangan luar dijangka lembap, katanya.

Jumlah eksport Malaysia susut pada Februari 2019 dan Mac 2019 disebabkan aktiviti pengeksportan semula yang kurang menggalakkan, merosot 11 peratus tahun ke tahun, penyusutan pertama selepas sembilan suku tahun berturut-turut mencatatkan pertumbuhan yang kukuh, manakala eksport domestik kekal pada kadar yang baik sebanyak 1.7 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2019.

“Dari segi perkembangan positif, lebihan dagangan meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun sebanyak RM36.9 bilion,” katanya. – MalaysiaGazette