SRINAGAR – Ribuan rakyat Srinagar mengadakan protes jalanan di wilayah Kashmir bagi menuntut hukuman mati dikenakan terhadap lelaki yang merogol kanak-kanak berusia 3 tahun.
Insiden itu mencetuskan kemarahan masyarakat Kashmir berikutan kejadian jenayah seksual yang menjadi-jadi sehingga menggugat keselamatan wanita dan kanak kanak di wilayah Himalaya itu.
Protes aman itu bertukar tragedi apabila puluhan orang tercedera apabila pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.
Mereka juga menggunakan baton untuk menghalau peserta demonstrasi yang didakwa membaling batu sehingga menghalang lebuh raya selain mengganggu gugat kelancaran trafik, kata kenyataan polis.
Insiden rogol kanak kanak tiga tahun itu berlaku seminggu selepas kes bunuh diri seorang gadis yang disyaki dirogol berulangkali oleh bapa kandungnya.
Premis perniagaan dan sekolah ditutup di wilayah majoriti Muslim itu ekoran protes yang dipimpin puak pemisah Moulana Masoor Abbas yang maaahu mencegah kejadian rogol itu.
“Kami mengajak orang awam protes hari ini untuk memberi kesedaran mengenai kejadian insiden rogol secara berterusan dan amat membimbangkan.
“Kami mahukan keadilan untuk mangsa kes rogol ini,” katanya kepada Reuters.
Polis berkata siasatan awal mendapati suspek disyaki mengheret mangsa ke dalam bangunan sekolah yang kosong sebelum merogolnya pada Rabu lalu.
Ibu mangsa yang terdengar jeritan anaknya menemui mangsa dalam keadaan berdarah di dalam bilik air.
Seorang lelaki telah ditahan polis untuk membantu siasatan.
Masyarakat tempatan yang telah hilang sabar dengan kejadian tersebut berkata mereka tidak lagi yakin dengan polis dan mahu pelaku itu dihukum mati.
“Jika pelaku jenayah rogol dihukum gantung, insiden sedemikian tidak akan berulang lagi,” kata Nafia Khursheed.
Orang ramai tidak mengedahkan arahan polis yang meminta mereka bersurai diikuti arahan imam dan ulama Majlis The Muttahida Majlis-e-Ulema (MMU) meminta masyarakat memperjuangkan hak wanita yang menjadi mangsa jenayah rogol.
Jenayah ke atas wanita meningkat 8 peratus kepada 3,168 kes pada 2017 berbanding 2,915 kes pada tahun sebelumnya menurut data kerajaan. – MalaysiaGazette