SEOUL – Pyongyang menuntut Amerika Syarikat mengembalikan segera kapalnya yang dirampas.
Malah, Korea Utara menyifatkan tindakan itu sebagai satu rompakan.
Minggu lalu, Jabatan Perundangan Amerika Syarikat menuduh Pyongyang melanggar sekatan antarabangsa dengan menggunakan kapal untuk penghantaran arang batu.
Kapal itu, Wise Honest, pertama kali ditahan di Indonesia pada April 2018.
Korea Utara berkata, penyitaan kapal itu melanggar semangat Perjanjian Sidang Kemuncak 2018 antara Donald Trump dan Kim Jong-un.
“Tindakan ini adalah cara Amerika Syarikat untuk mengenakan tekanan maksimum dan menafikan semangat fundamental Amerika Syarikat-Korea Utara dalam kenyataan bersama pada 12 Jun tahun lalu.
“Ia juga akan menjadi “salah perhitungan terbesar” jika Amerika Syarikat percaya ia dapat mengawal Korea Utara dengan kekerasan, kata Menteri Luarnya.
Inilah kali pertama Amerika Syarikat telah merampas kapal Korea Utara kerana melanggar sekatan dan ia berlaku di tengah-tengah hubungan yang semakin memburuk di antara kedua-dua negara. – MalaysiaGazette