KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan penubuhan Pejabat Pengurusan Hutang (PPH) serta barisan anggotanya berkuatkuasa serta-merta.
PPH bertanggungjawab menyemak dan menguruskan hutang dan liabiliti kerajaan juga akan memantau penerbitan hutang dan mencadangkan penstrukturan oleh Kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan Syarikat Tujuan Khas (SPV) secara holistik.
Ia bagi mengelakkan berlakunya bayaran khidmat hutang yang lebih tinggi dan tidak bertanggungjawab akibat kelemahan koordinasi dalam penerbitan pinjaman, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
“PH ditubuhkan sebagai salah satu langkah dalam usaha berterusan kerajaan untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah hutang dan liabiliti kerajaan yang disembunyikan yang telah mencecah RM1 trilion sejak 2017.
“PPH juga mengawal hutang kerajaan agar tidak terus hilang kawalan dan juga memastikan pinjaman hutang secara sesuka hati tanpa sebab munasabah tidak berulang lagi.
“PPH adalah di antara reformasi institusi yang akan memantapkan sistem kewangan dan fiskal kerajaan yang dilihat sebagai penting oleh syarikat penarafan kredit antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
PPH akan menjalankan langkah-langkah berikut:
• Menjadualkan terbitan bon dan pinjaman kerajaan, syarikat-syarikat milik kerajaan dan badan-badan berkanun secara teratur untuk memastikan kadar kupon dan faedah yang paling rendah;
• Menstruktur semula bon-bon dan pinjaman di mana kos pembiayaan dapat dikurangkan untuk menjimatkan peruntukan pembayaran balik hutang;
• Merancang strategi-strategi untuk mengurangkan beban hutang kerajaan pada masa akan datang.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju Guan Eng sebagai Pengerusi PPH, selain pelantikan beberapa anggotanya.
Menurut Guan Eng, penubuhan PPH secara serta-merta itu membolehkan strategi mengurangkan hutang negara dapat dirangka dan pelan tindakan dilaksana.
Strategi dan pelan yang dirangka akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Dasar Fiskal yang dipengerusikan
oleh Dr Mahathir.
Mereka terdiri daripada:
• Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar
• Ketua Setiausaha Perbendahaaran, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir;
• Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Saiful Anuar Lebai Hussen;
• Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus;
• Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar;
• Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz;
• Akauntan Negara Malaysia, Datuk Saat Esa;
• Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia, Dato’ Mohammad Faiz Azmi; dan
• Penasihat Ekonomi Kepada Perdana Menteri Malaysia, Dr Muhammad Abdul Khalid. – MalaysiaGazette