Home Utama PM: Biar Tun M bincang dengan saya, kata Anwar

PM: Biar Tun M bincang dengan saya, kata Anwar

Anwar Ibrahim
Reaksi Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK 15 MEI 2019

BANGI – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa tarikh untuk beliau mengambil alih tampuk pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu menjadi persoalan kepada umum.

Ini kerana katanya, ia terpulang kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir untuk mengadakan pertemuan dengannya mengenai peralihan kuasa itu.

“Biarlah beliau bincang dengan saya seperti mana yang sedang berlaku dengan baik, saya tidak ada masalah sama sekali kerana Tun Dr Mahathir punya peranan masa sekarang dan harus diberi ruang.

“Andai kata saya ambil alih (kepimpinan) pun, peranan Dr Mahathir tetap ada sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara kita. Saya tidak fikir isu (penyerahan kuasa ini) adalah masalah,” katanya selepas memberikan ucaptama dalam Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Dalam ketetapan yang telah dipersetujui sebelum ini, Dr. Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas dua tahun, iaitu pada Mei 2020.

Dr. Mahathir sebelum ini berkata, beliau mengakui sedang berada dalam posisi Perdana Menteri sementara dan sedang berusaha mempersiapkan negara sebaik mungkin supaya penggantinya kelak dapat mengambil alih jawatan dalam keadaan terbaik.

Dalam pada itu, Anwar turut berkata beliau banyak memanfaatkan waktu terluang selepas dibebaskan tahun lalu.

Katanya, beliau banyak mengambil masa untuk bertemu dengan rakan-rakan dan masyarakat dalam dan luar negara dan tidak menyangka esok genap satu tahun beliau dibebaskan.

“Oh ya setahun! (dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh).

“Saya syukur telah bebas dan sudah setahun berlalu dan memanfaatkan waktu menemui semua pihak turun ke daerah dan keluar negara menemui rakan-rakan lama dan juga masyarakat, NGO dan aktivis,” katanya lagi.

Esok genap setahun Presiden PKR itu dibebaskan setelah mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, menurut Istana Negara. – MalaysiaGazette