Perkara itu terbongkar susulan tertangkapnya tujuh wanita warga Vietnam yang ditahan menerusi Ops Noda yang dijalankan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di premis terbabit.
Pegawai Turus D7 Selangor, DSP Azmi Syukor berkata, turut ditahan dua lelaki warga tempatan yang dipercayai pelanggan ketika serbuan dilakukan bagi membantu siasatan.
“Serbuan dilakukan pada jam 11.30 malam tadi di Pusat Perdagangan One Puchong, Jalan OP 1/3 Off Jalan Puchong, Selangor.
“Pihak kami juga mendapati, premis telah beroperasi tanpa lesen yang sah,” katanya kepada pemberita, di sini.
Azmi juga berkata, premis itu didakwa menawarkan khidmat seks dengan harga sehingga RM160.
Tambahnya lagi, pihaknya turut merampas beberapa barang dipercayai digunakan dalam aktiviti persundalan seperti kondom, minyak pelincir seks, tuala dan wang tunai RM800.
Katanya, premis terbabit hanya memilih pelanggan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk dipercayai bagi mengelakkan diserbu pihak berkuasa.
Azmi menambah, premis itu juga didapati berselindung di sebalik pusat refleksologi dan beroperasi di tingkat atas bagi mengelakkan dikesan.
Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 55(B) Akta Imigresen,” katanya.
— BERNAMA