Home Nasional Sekat pembaharuan pasport, lesen memandu peminjam PTPTN liat dicadang

Sekat pembaharuan pasport, lesen memandu peminjam PTPTN liat dicadang

PTPTN
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penangguhan yang bakal memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam itu berkuatkuasa serta-merta sehingga 30 September ini.-Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap peminjam yang tidak membayar balik pinjaman bagi tempoh yang lama merupakan antara 10 idea yang diperoleh untuk dipertimbangkan bagi pelaksanaan mekanisme skim bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Mastura Mohd Khalid berkata idea itu diperoleh hasil perbincangan meja bulat dengan pebagai pihak berkepentingan termasuk ahli kewangan, anggota Parlimen dan mahasiswa dari Januari hingga Mac lalu.

Terdapat enam langkah penguatkuasaan yang dicadangkan antaranya sekatan untuk pembaharuan pasport, lesen memandu dan cukai jalan.

“Cadangan ini merangkumi empat bidang yang secara kolektif akan memastikan kesinambungan pembiayaan pendidikan tinggi di Malaysia. Ini bukanlah cadangan PTPTN tetapi merupakan koleksi pandangan yang diperoleh daripada sesi meja bulat yang telah diadakan,” katanya pada sesi taklimat Konsultasi Rakyat Bersama Media, di sini, hari ini.

Kaji selidik menerusi proses Konsultasi Rakyat dibuka bermula 1 tengah hari ini sehingga 13 Jun secara dalam talian kepada orang awam menerusi laman www. ptptn.gov.my/kertas-konsultasi-rakyat bagi mendapatkan maklumat balas terhadap mekanisme skim baharu itu.

Antara 10 idea lain yang dikemukakan hasil meja bulat Konsultasi Rakyat adalah penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan RM2,000 dan RM4,000 ke bawah, menggantikan sistem bayaran balik sedia ada kepada skim bayaran balik berasaskan pendapatan untuk peminjam baharu (IBR), potongan gaji mandatori serta secara beransur-ansur menamatkan pinjaman kepada institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dan kursus yang berprestasi rendah.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata laporan hasil daripada proses kajian secara online itu dijangka dapat dihasilkan pada penghujung Jun ini.

Sehingga kini PTPTN mempunyai hutang berjumlah RM40 bilion dan merupakan antara entiti terbesar yang dijamin kerajaan, katanya.

Jumlah peminjam PTPTN sejak 1997 adalah seramai tiga juta pelajar dan jumlah pinjaman pelajar yang dibelanjakan oleh PTPTN sehingga Februari tahun ini adalah RM56 bilion.

— BERNAMA