Home Nasional Baik letak jawatan sahaja Wan Saiful

Baik letak jawatan sahaja Wan Saiful

Mendiang Presiden Parti IPF, Datuk M. Sambathan

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan didesak untuk meletak jawatan daripada terus mengeluarkan kenyataan umpama ‘jilat balik ludah’ berkaitan peminjam tabung tersebut.

Menurut Presiden Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Datuk M Sambathan, jika sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, bermacam-macam tohmahan dikeluarkan oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) menganiyai peminjam PTPTN.

Antaranya, kata Sambathan yang juga Ahli Dewan Negara, mengenakan sekatan ke luar negara bagi sesiapa yang gagal membayar hutang mereka kepada tabung pinjaman itu.

Malah sekatan dilakukan bagi memastikan pinjaman dibayar balik walaupun dalam jumlah sedikit di kritik, difitnah sehingga rata-rata golongan muda membenci kerajaan terdahulu.

“Namun pelik pula, bila kini mereka sedang merancang untuk mengenakan balik sekatan itu yang sebelum ini telah dimansuhkan oleh mereka, malah pada awalnya pimpinan ada cakap tidak perlu bayar balik.

“Kemudian apabila menang dan mula memerintah, mereka cakap hutang terlampau banyak perlu bayar balik. Macam-macam cadangan mahu diperkenalkan pula termasuk sekatan ke luar negara, pemotongan gaji, tidak boleh ambil lesen memandu dan entah apa lagi.

“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, lebih teruk krisisnya daripada dulu malah pelbagai inisiatif serta bantuan di potong sana sini, dihentikan dan dimansuhkan, adakah kenyataan seperti ini sebenarnya membantu?

“Saya rasa ada baiknya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri yang jadi Pengerusi ganti Wan Saiful ini dan buat keputusan terbaik. Wan Saiful ini cakap banyak dan banyak mencemarkan perjuangan PH apatah lagi dalam manifesto tertulis lain, janji lain cakap pun lain.

“Letak jawatan sahaja, buat kerja lain. Rasanya dengan keluarkan kenyataan hanya bangkitkan kemarahan terutamanya golongan muda dan para mahasiswa mahasiswi. Jika mereka luahkan perasaan tidak puas hati, kamu tetap salahkan kerajaan terdahulu pula,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sambathan mengulas hasrat Wan Saiful untuk melaksanakan semula tindakan senarai hitam kira-kira 433,000 peminjam yang gagal membayar balik pinjaman pendidikan itu untuk keluar negara.

Wan Saiful dalam kenyataannya sebelum ini berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklum balas daripada pihak berkepentingan berhubung isu tunggakan pinjaman dan mekanisme pembayaran balik.

Katanya, senarai hitam perjalanan ke luar negara bukan sebahagian daripada perancangan PTPTN, tetapi merupakan antara idea yang dikemukakan oleh akar umbi kepada tabung tersebut.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pula berkata, apa yang PTPTN kemukakan mengenai cadangan berkenaan adalah hasil daripada maklum balas yang diterima daripada orang awam menerusi tinjauan dalam talian (Konsultasi Rakyat) yang dilaksanakan oleh PTPTN.

“Pihak PTPTN perlu berikan penjelasan (cadangan untuk memperkenalkan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam) bagi mengelakkan berlaku salah faham.

“Ini bukan cadangan daripada PTPTN, tetapi ia adalah pandangan awam menerusi tinjauan dalam talian yang dilakukan oleh PTPTN,” katanya.

Jelas Sambathan, cadangan beliau supaya Wan Saiful meletak jawatan juga kena pada tempatnya kerana sebelum ini pembangkang yang kini menerajui kerajaan selalu mengkritik pimpinan terdahulu dan seringkali meminta mereka melepaskan jawatan.

“Ini sangat normal bukan? Jadi saya juga ingin minta beliau letak jawatan. Mengapa buat sesuatu yang anda guna sebagai ‘senjata’ untuk pengaruhi umum membenci kerajaan dulu semata-mata untuk mendapat undi kemudian selepas menang anda guna pakai formula sama,” katanya. – MalaysiaGazette

Anwar bantah tindakan keras terhadap peminjam PTPTN – Anwar