Home Nasional Ezam tubuh Parti Negara

Ezam tubuh Parti Negara

Sidang media Mohamad Ezam pada 17 Mei 2019 selepas menyerahkan permohonan penubuhan parti baharu, Parti Negara di pejabat ROS di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Sekretariat penaja Parti Negara (Negara) nekad untuk menubuhkan parti baharu itu bagi membanteras masalah rasuah yang menjadi musuh utama negara.

Presidennya, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan penubuhan parti Negara kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di sini, hari ini untuk didaftarkan sebagai parti politik rasmi.

Katanya, Negara sebuah parti berbilang kaum, yang mana keahliannya terbuka kepada setiap warganegara berumur 18 tahun ke atas.

“Hari ini kami secara rasmi menghantar permohonan kepada ROS untuk mendaftar sebagai sebuah parti bernama Parti Negara.

“Dalam perlembagaan parti yang kami sediakan kepada ROS, parti ini berdiri dengan satu matlamat iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara anti rasuah, bersih dari gejala rasuah di segenap lapisan masyarakat.

“Dalam takrif kami menyatakan Negara, memberi makna berjuang ke arah sebuah negara, di mana rakyat dan pemimpinnya menjadikan rasuah sebagai musuh utama negara,” katanya kepada pemberita di luar bangunan ROS di sini hari ini.

Turut bersama, Timbalan Presiden penaja, Dr. Ng Rui We; Naib Presiden, S. Gobi Krishnan; dan Setiausaha Agung, Abd Ghani Haroon.

Menurut Mohamad Ezam, beliau sebelum ini pernah mendaftar parti baharu yang dinamakan Parti Anti Rasuah pada zaman Barisan Nasional (BN), tetapi tidak lulus sehingga kerajaan itu kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu.

Hari ini, di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), beliau memohon untuk kali kedua dengan nama Parti Negara, dengan harapan memberikan kelulusan dan keizinan untuknya menubuhkan parti mengikut peruntukan undang-undang.

“Di bawah kerajaan BN dahulu, kami telah membuat permohonan atas nama Parti Bebas Rasuah dengan matlamat dan asas yang sama, tetapi telah ditolak secara tidak adil.

“Tidak menghairankan apabila kerajaan terdahulu yang penuh rasuah yang mengamalkan kleptokrasi menolak penubuhan sebuah parti yang menjadikan rasuah musuh nombor satu negara,” katanya.

Pada sidang media itu juga, Mohamad Ezam mengakui setelah setahun PH mengambil alih pentadbiran Putrajaya, terdapat langkah pembaikan dan pembaharuan dari sudut membendung gejala rasuah.

Namun, katanya, ada beberapa realiti dalam era Malaysia baharu ini yang menuntut kewujudan satu usaha yang fokus kepada perjuangan anti rasuah. – MalaysiaGazette